TLDM sahkan 41 kapal terlibat pameran LIMA'23
Bernama
April 12, 2023 16:47 MYT
April 12, 2023 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan sebanyak 41 buah kapal terlibat pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.
Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata 17 kapal adalah daripada TLDM, 15 kapal tentera negara asing dan sembilan kapal dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Beliau berkata buat pertama kali, para pengunjung dibenarkan menghampiri kapal-kapal ini bukan hanya di jeti malah boleh menaiki kapal-kapal yang bersauh di tengah laut.
"Itu kelebihannya pameran LIMA'23 kali ini. Sebelum ini, pengujung hanya boleh mendekati kapal-kapal ini di jeti sahaja.
"Antara aset TLDM yang akan dibawa ke pameran ini adalah kapal selam KD Tuanku Abdul Rahman yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah bersama-sama kapal penyelamat kapal selam iaitu Mega Bakti," katanya semasa menjadi tetamu jemputan dalam program 'Apa Khabar Malaysia' terbitan Bernama TV, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Alpine Integrated Solution Sdn Bhd Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata antara tarikan baharu pada pameran LIMA'23 ini adalah segmen angkasa.
Beliau berkata segmen angkasa telah diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang pada bulan lepas bahawa MOSTI akan mengetuai Space Tech Nexus, yang juga merupakan elemen baharu dalam pameran dwitahunan ini.
"Ia sebagai usaha MOSTI memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik sektor angkasa di Malaysia dengan pemain di peringkat antarabangsa.
"Segmen angkasa ini merupakan satu segmen ekonomi yang mempunyai potensi yang sangat besar dan ini kali pertama LIMA' 23 mengetengahkan elemen angkasa," katanya.
Mohd Khairul berkata keistimewaan pameran LIMA'23 pada kali ini adalah untuk memenuhi cita rasa rakyat tempatan menceburi bidang ini bukan sahaja tertumpu kepada ketenteraan, aeroangkasa, maritim bagi tujuan komersial.
Beliau berkata pameran LIMA'23 antaranya akan melahirkan banyak jalinan kerjasama antara dua pihak, memorandum persefahaman, pemindahan teknologi dan kolaborasi yang memberi ruang dan peluang bagi industri pertahanan untuk semakin berkembang.
"Daripada segi kehadiran, kami menjangkakan hampir 400,000 pengujung untuk ke Pulau Langkawi bukan hanya dari dalam malah luar negara dan secara tidak langsung menaikkan ekonomi sektor pelancongan," katanya.
Pameran LIMA'23 bertemakan 'Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia' dengan kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan adalah pada 2019.
-- BERNAMA