TLDM lantik pihak swasta laksana salvaj KD Pendekar

Bernama
Ogos 30, 2024 17:00 MYT
Ketika ini pihak TLDM telah melakukan kerja awalan termasuk mengenal pasti serta memastikan peralatan di kapal terbabit dalam keadaan baik. -Gambar fail/Facebook Persatuan Abang Tanjung Penang
KLUANG: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melantik pihak swasta bagi menjalankan operasi salvaj Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusup, di Kota Tinggi setelah mengalami kebocoran Ahad lepas.

Ringkasan AI
  • Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melantik pihak swasta untuk menjalankan operasi salvaj KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusup.
  • TLDM telah melakukan kerja awalan untuk memastikan peralatan di kapal dalam keadaan baik dan kapal tidak hilang, dengan laporan lengkap dijangka dalam sebulan.
  • KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan tugasan dipercayai akibat pelanggaran dengan objek bawah air pada 25 Ogos lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketika ini pihak TLDM telah melakukan kerja awalan termasuk mengenal pasti serta memastikan peralatan di kapal terbabit masih dalam keadaan yang baik.
Beliau berkata selain memastikan kapal berkeadaan baik, kerja awalan itu juga bagi memastikan kapal berkenaan tidak hilang, namun untuk kerja mengapungkan dan salvaj, TLDM akan melantik pihak swasta.
"Bedah siasat (kapal) masih belum selesai dan dijangka diperoleh dalam masa sebulan serta punca kematian (penyelam ranjau) kita tidak tahu apa-apa lagi kerana belum menerima laporan penuh.
"Kita menjangkakan laporan lengkap mengenai kebocoran KD Pendekar mengambil masa kira-kira sebulan," katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Program e-Perkasa SPM Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta sumbangan komputer riba kepada anak anggota ATM di Kem Mahkota Kluang di sini hari ini.
Pada 25 Ogos lepas, TLDM mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika melaksanakan tugasan dipercayai akibat pelanggaran dengan objek bawah air.
Ia mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal namun semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata 969 anak warga angkatan tentera bersekolah di luar kem tentera yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di seluruh negara menerima manfaat menerusi program e-Perkasa SPM berkenaan.
Beliau berkata program dalam talian dengan kerjasama UPSI itu membolehkan pelajar mengakses pembelajaran pada bila-bila masa atau menetapkan masa bersesuaian untuk mereka mengikuti pembelajaran.
"Kemudahan melibatkan lima mata pelajaran itu turut dipermudahkan dengan pemberian sebuah komputer riba hasil usaha Yayasan LTAT.
"Bagi anak-anak tentera lepasan universiti pula yang masih belum bekerja boleh melakukan latihan industri dengan elaun RM2,000 selama setahun," katanya.
-- BERNAMA
#TLDM #Mohamed Khaled Nordin #KD Pendekar #salvaj #Tanjung Penyusup