TLDM keluarkan dua mayat dari kapal karam Ocean Line
Astro Awani
Mei 25, 2015 23:00 MYT
Mei 25, 2015 23:00 MYT
Dua daripada tiga mayat kru kapal korek Ocean Line 208 karam yang ditemui semalam, berjaya dikeluarkan dari badan kapal dan dinaikkan oleh penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Mayat warganegara China itu dikeluarkan jam 11.15 pagi tadi.
Jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berkata bot APMM telah mengambil mayat tersebut untuk dibawa ke jeti Marina Tanjung Pengelih.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhenti pada jam 3.30 petang tadi berikutan kerja selaman agak sukar kerana arus yang kuat.
Setakat ini empat mayat kru kapal telah ditemui termasuk seorang warganegara Malaysia.
Operasi SAR ditangguhkan hari ini dan akan disambung semula pada esok untuk mencari 10 lagi kru kapal yang hilang.
Pada Rabu, kapal korek Ocean Line 208 terbalik dipukul ombak tahap tiga yang menyebabkan 14 kru kapal hilang termasuk seorang rakyat tempatan.
Seorang warganegara China berjaya diselamatkan kapal korek lain yang berada berhampiran lokasi kejadian pada ketika itu.