TLDM gagalkan cubaan seludup 450 burung murai
Umavathi Ramayah
Disember 17, 2020 16:12 MYT
Disember 17, 2020 16:12 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 450 ekor burung murai yang cuba diseludup ke luar negara berjaya dikesan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalankan Op Benteng Laut di sempadan negara.
Cubaan menyeludup haiwan terlindung yang dilakukan oleh seorang tekong warga Indonesia itu dikesan di sekitar Teluk Ramunia, Johor pada malam tadi.
Menurut Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut, Perak, ketika TLDM sedang melaksanakan operasi, pasukan itu menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) pada pukul 11.32 malam tadi, mengenai kewujudan sebuah bot yang mencurigai sedang menuju ke perairan Teluk Ramunia.
"TLDM menahan seorang tekong warga Indonesia dipercayai penyeludup serta sebuah bot enjin berkapasiti 40 kuasa kuda tanpa dokumen yang sah pada pukul 12.22 tengah malam.
"Pemeriksaan lanjut dalam bot itu, kita menjumpai 45 bekas mengandungi 450 ekor burung yang keseluruhanya bernilai lebih RM165,000," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Kenyataan itu turut memaklumkan, selain itu, TLDM turut merampas sebuah bot fiber bernilai RM5,000 dan enjin sangkut berjenama Yamaha yang bernilai RM10,000.
Lelaki itu katanya, dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Sungai Mas untuk menjalani pemeriksaan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
#Tentera Laut Diraja Malaysia
#burung murai
#perairan negara
#Op Benteng Laut
#Joko Widodo
#Indonesia
#COVID-19