TLDM berkas dua PATI di perairan Johor
Aida Aziz
April 11, 2022 21:38 MYT
April 11, 2022 21:38 MYT
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memberkas dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara secara tidak sah di perairan Tenggara, Johor awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan dari Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM, Lumut pada Isnin.
"KD Sundang yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut mengatur gerak bot-bot pemintas iaitu Fast Combat Boat (FCB) 101, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Lepau dan RHIB Santi untuk membuat pintasan terhadap bot pancung tersebut.
"Ia susulan maklumat awal yang disalurkan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Bukit Pengerang.
"Sejurus mengesan sebuah bot yang mencurigakan di posisi 1.5 batu nautika Tenggara Tanjung Ayam menuju ke daratan," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan pantas RHIB Lepau dan RHIB Santi berjaya memintas dan menahan bot pancung tersebut.
"Setelah membuat pemeriksaan, kedua-dua PATI tersebut dipindahkan ke FCB 101 untuk dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih.
"Ia termasuk barang rampasan yang diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Jelasnya, TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada bila-bila masa.
"Kerjasama dan tindakan bersepadu selain penyaluran maklumat yang pantas antara agensi terlibat jelas amat berkesan," katanya.
Ia penting bagi memastikan setiap niat atau tindakan menceroboh sempadan negara baik di laut mahupun di daratan akan sentiasa dihalang demi mempertahankan kedaulatan negara.
#TLDM
#Tentera Laut Diraja Malaysia
#pendatang asing tanpa izin
#pati
#berkas
#perairan johor
#perairan Tenggara
#Op Benteng Laut