Titikberatkan kualiti perkhidmatan, kemudahan dan kebersihan hospital kerajaan - Sultan Ibrahim

Bernama
Februari 19, 2023 17:07 MYT
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru hari ini. - Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah supaya kerajaan persekutuan menitikberatkan kualiti perkhidmatan perubatan, kemudahan dan kebersihan hospital kerajaan di negeri itu.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
Turut dibincangkan dalam pertemuan itu ialah penambahbaikan perkhidmatan perubatan di Johordengan cadangan pembinaan sebuah hospital baharu berkapasiti 1,500 katil secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Berangkat sama, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, menurut satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Johor, di sini hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh Hardev Singh; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail; dan Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu.
-- BERNAMA
#Sultan Johor #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Dr Zaliha Mustafa #perkhidmatan kesihatan
;