Titah untuk tukar Menteri Besar Johor sudah lama dibuat - TMJ
Astro Awani
April 9, 2019 18:07 MYT
April 9, 2019 18:07 MYT
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Twitternya hari ini memaklumkan titah supaya Menteri Besar Johor ditukar telah lama dibuat.
"Kebawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan," katanya.
Selain itu, Tunku Ismail menerusi juga berharap agar Menteri Besar baharu nanti bukanlah seorang yang mengikut perintah Putrajaya.
"Saya harap Menteri Besar yang baru bukanlah 'Yes Man' Putrajaya saja. Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Johor mesti diutamakan," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam.
Berita peletakan jawatan itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Spekulasi Johor bakal menyaksikan pertukaran Menteri Besar semakin mendapat perhatian selepas Datuk Osman Sapian dilaporkan tidak hadir ke Pemukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura kali kesembilan, yang diadakan selama dua hari bermula Isnin, di Putrajaya.
Sumber dalaman memberitahu Astro AWANI, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal telah mewakili Menteri Besar Johor dalam pemukiman tersebut.
Sebelum ini spekulasi Osman yang juga ADUN Kempas bakal digugurkan dari jawatannya atas sebab-sebab tertentu, tersebar sejak beberapa bulan lalu.
#Menteri Besar Johor
#Menteri Besar Johor letak jawatan
#osman sapian letak jawatan
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#Tunku Mahkota Johor