Titah ucapan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Astro Awani
Januari 18, 2016 14:20 MYT
Januari 18, 2016 14:20 MYT
BERIKUT ialah titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-68 di Istana Besar Seri Menanti pada 14 Januari.
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
1. Beta bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, Beta dapat berangkat ke Majlis pada pagi ini untuk menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena ulang tahun hari keputeraan Beta yang ke 68.
2. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Memanda Beta di atas persembahan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Beta bagi pihak Kerajaan, pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan seluruh rakyat. Beta dan Tunku Ampuan Besar berasa sukacita dan menghargai doa, ingatan dan kasih sayang yang dilafazkan kepada Beta berdua serta kerabat sekalian.
Beta juga menghargai keprihatinan dan doa berterusan untuk anakanda Beta, Tunku Alif Saifuddin. Sesungguhnya, inilah perlambangan kasih sayang dan tautan erat di antara Raja dan rakyat yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.
Ucapan Tahun Baru 2016
3. Beta mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2016. Tahun 2015 telah ditinggalkan dengan pelbagai peristiwa yang diantaranya menjadi kenangan manis kehidupan dan ada yang boleh dijadikan pengajaran untuk menghadapi hari yang mendatang. Beta berdoa agar tahun ini akan terus dilimpahi kesejahteraan, kerahmatan dan kemakmuran oleh Allah S.W.T. serta kestabilan dari segi ekonomi dan sosial di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya.
Agama Islam serta Asas Pembinaan Negara Yang Berdaulat dan Harmoni.
4. Majlis Negeri Sembilan Berselawat yang dianjurkan oleh Kerajaan Beta baru-baru ini sempena sambutan Maulidur Rasul wajar diberi pujian dan penghargaan. Majlis yang menarik kunjungan ribuan rakyat tersebut merupakan manifestasi kecintaan kita kepada seorang manusia, Nabi Muhammad S.A.W yang diangkat oleh Allah S.W.T sebagai Rasul dan Kekasih-Nya untuk menyebarkan Islam, agama yang syumul dan penuh kedamaian ke seluruh alam.
Ajaran Islam yang begitu indah tidak pernah menganjurkan atau membenihkan sifat ekstremisme di kalangan umatnya. Malah ia diturunkan lengkap dengan tatacara kehidupan sesama manusia serta mengiktiraf perbezaan kaum yang dijadikan Allah S.W.T dengan pelbagai hikmah tertentu.
Gerakan-gerakan ekstremis yang mengganggu gugat keharmonian hidup sesama umat Islam dan bukan Islam sewajarnya dipantau dan ditangani dengan tegas. Ini kerana ianya dengan jelas adalah bertentangan dengan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah akibat tafsiran songsang untuk kepentingan golongan ini sendiri.
Sebagai umat Rasulullah S.A.W., contohilah sifat dan keperibadian mulia Baginda yang sentiasa mengamalkan kesederhanaan, kejujuran dan beramanah di dalam setiap urusan.
5. Beta juga percaya, nilai-nilai murni kehidupan, jatidiri serta asas-asas moral yang luhur turut wujud di dalam ajaran pelbagai agama lain yang menjadi anutan masyarakat majmuk di Malaysia. Rangkuman untuk meraikan kepelbagaian ini telah dizahirkan melalui Rukun Negara.
Rukun Negara dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara yang dianggotai oleh tokoh dari pelbagai kaum utama dan diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong semasa sambutan kemerdekaan ke-13 pada 31 Ogos 1970.
Semangat dan prinsip Rukun Negara ini adalah tanda penyatuan dan kebersamaan setiap rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara bangsa yang progresif dan disegani tanpa dibayangi oleh sebarang perasaan perkauman.
6. Jika kita melihat dengan teliti, dengan mata hati yang jujur, 5 prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara adalah penyelesaian holistik kepada banyak masalah yang dihadapi oleh kita pada hari ini. Prinsip-prinsip Rukun Negara inilah yang sepatutnya menjadi pegangan utuh rakyat yang dipimpin apatah lagi oleh mereka yang memimpin.
Sebagai pemimpin, sudah pasti kewajipan untuk menjiwai dan menjunjung tinggi prinsip-prinsip ini perlu diperlihatkan dalam setiap tindakan serta perilaku untuk dicontohi oleh mereka yang dipimpin. Ia juga merupakan cerminan kepada tanggungjawab besar dan berat untuk membawa pimpinan mereka ke arah sebuah negara yang kukuh bersatu, aman lagi makmur.
Kewajipan untuk berpegang teguh terutamanya kepada prinsip Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang, perlu diterjemah oleh pemegang tampuk kuasa dengan tindakan jujur dan ikhlas untuk mempertahan, melindungi serta memastikan kebebasan institusi-institusi perundangan dan kehakiman serta institusi penguatkuasaan yang telah diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang campur tangan yang pasti memudaratkan.
Penegasan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dititahkan oleh Almarhum Nenda Beta, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada 12 September 1959 di Istiadat Perasmian Persidangan Parlimen yang Pertama Persekutuan Tanah Melayu selepas kemerdekaan.
Baginda menitahkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah pelindung, penjaga kepada Rule of Law dan ianya melindungi integriti, tidak terikat dengan sebarang pengaruh serta melindungi kebebasan Mahkamah, para Hakim dan Pegawai Undang-Undang serta Ahli-ahli Suruhanjaya yang bertanggungjawab ke atas sebarang pelantikan dan penguatkuasaan.
Ia juga menjamin keselamatan dan integriti Perkhidmatan Awam untuk bersikap saksama dan tidak berpihak. Baginda turut bertitah bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah milik setiap rakyat Malaysia; milik Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, milik setiap Wakil Rakyat yang dipilih dan yang lebih penting, ianya adalah milik setiap rakyat yang menjadi punca kepada kuasa yang ada. Titah ucapan tersebut begitu dekat dan meninggalkan kesan mendalam kepada Beta.
7. Oleh itu, Beta menyeru agar seluruh rakyat untuk menghayati, mengamalkan serta berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Golongan muda yang telah didedahkan sejak peringkat awal dengan Prinsip Rukun Negara seharusnya diberi kefahaman yang sebenar mengenainya dan bukanlah hanya sebagai hafalan untuk diikrarkan semasa perhimpunan atau majlis-majlis tertentu.
8. Beta juga yakin, sekiranya perkara ini diberi perhatian dan dokongan yang serius daripada semua, keamanan, keharmonian serta kemakmuran yang kita kecapi di tanah air tercinta ini akan berkekalan.
Perancangan Pembangunan Jangka Panjang Dan Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sebelas Mulai Tahun 2016-01-11
9. Beta menzahirkan rasa bangga dengan prestasi pembangunan Negeri Sembilan pada masa kini yang pesat membangun dalam pelbagai sektor. Sungguhpun landskap ekonomi dunia berada dalam ketidaktentuan, Kerajaan Beta telah berjaya menghadapinya dengan menyusun strategi serta perancangan yang komprehensif dan holistik.
10. Beta juga telah disembah maklum oleh Memanda Beta bahawa Kerajaan Beta kini telah merencana agenda perancangan pembangunan jangka panjang untuk Negeri Sembilan. Agenda pembangunan ini adalah melalui pewujudan kawasan pertumbuhan baru iaitu Malaysia Vision Valley dan perancangan pembangunan luar bandar.
Perancangan ini akan dilaksanakan mulai tahun 2016 dan ianya bertujuan untuk memastikan pembangunan seimbang serta modenisasi negeri secara menyeluruh. Sesungguhnya, perancangan jangka panjang ini merupakan suatu tindakan yang baik untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan berdasarkan acuan budaya kita yang lebih tersusun.
11. Beta turut disembah maklum bahawa projek-projek pembangunan yang dirancang untuk tahun 2015 telah pun dilaksanakan dengan jayanya. Ini menjadi asas utama kepada Kerajaan Beta untuk meneruskan kelestarian pembangunan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Sebelas.
12. Berbekalkan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran serta komitmen tinggi semua pihak, Beta yakin segala perancangan dan pelaksanaan program serta projek pembangunan tersebut akan berjaya. Ia seterusnya akan merealisasikan misi menjadikan Negeri Sembilan maju pada tahun 2020 yang sudah pasti matlamatnya adalah untuk memakmur serta mensejahterakan kehidupan rakyat di negeri ini.
Peningkatan Kos Sara Hidup Rakyat dan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial
13. Bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, Beta berharap Kerajaan Beta akan terus memperkukuh prinsip urus tadbir yang baik serta efisien, dengan sebarang keputusan dasar perancangan pembangunan yang dibuat hendaklah berpaksikan kepada keadilan dan mengambilkira semua keperluan rakyat Beta.
14. Kemodenan dan kemajuan yang dikecapi oleh negeri dan negara tidak akan membawa erti yang besar sekiranya rakyat dibelenggu dengan kesusahan dan dihimpit dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi. Justeru, Kerajaan Beta perlu melihat dan menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat dengan serius dan menyediakan tindakan proaktif dan efektif untuk menanganinya.
Keperluan asas rakyat Beta terutama kemudahan kediaman yang benar-benar mampu milik perlu disediakan dan menjadi fokus utama kepada apa jua perancangan pembangunan yang dibuat, di samping kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan infrastruktur yang serba lengkap.
15. Pelaksanaan dasar-dasar seperti Dasar Jaringan Keselamatan Sosial pula akan mewujudkan kesinambungan kepada usaha Kerajaan Beta untuk menangani isu kemiskinan tanpa terjadinya keciciran kelompok rakyat tertentu.
Dasar ini memungkinkan semua kategori masyarakat menikmati faedah pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Melaluinya juga, golongan kurang bernasib baik akan sentiasa diberi perhatian demi memastikan mereka dapat meneruskan kelestarian kehidupan.
Ucapan Tahniah Kepada Penerima Pingat
16. Sebelum mengakhiri titah, Beta mengucapkan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Beta yang ke 68 pada hari ini. Kurniaan tersebut merupakan penghargaan ke atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada Beta, Kerajaan Beta serta negara Malaysia amnya dan Negeri Sembilan khususnya.
17. Oleh itu, hendaklah sentiasa diingat bahawa penganugerahaan ini adalah sesuatu yang istimewa kepada setiap penerima. Perlunya semua penerima pada setiap masa menjaga tata susila dan tingkah laku kerana masyarakat akan memerhatikan dan menilai setiap penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat.
Ucapan Terima Kasih
18. Beta mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas, pasukan keselamatan termasuk pasukan tentera, polis, Dato’-Dato’ Penyandang Pusaka Adat serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan Istiadat ini berjalan lancar.
19. Beta dan Tunku Ampuan Besar berdoa semoga seluruh rakyat terus dilimpahi Rahmat dan Hidayah Allah S.W.T untuk hidup harmoni dengan aman dan damai di tanah air ini.
Sekian,
Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh