Titah Sultan Selangor sempena Mesyuarat MKI ke-69

Astro Awani
Mac 6, 2023 22:02 MYT
Majlis Raja-Raja telah menzahirkan persetujuan untuk memperkasakan semula peranan MKI sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus Agama Islam di peringkat Persekutuan. - Gambar fail
TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN SELANGOR DARUL EHSAN
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ
IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH AL-HAJ
SELAKU PENGERUSI MAJLIS KEBANGSAAN BAGI
HAL EHWAL AGAMA ISLAM (MKI)
SEMPENA MESYUARAT MAJLIS KEBANGSAAN BAGI
HAL EHWAL AGAMA ISLAM (MKI) KALI KE-69
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahir rahmanir rahim
Alhamdullilah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat daripada Nya juga, Beta dapat berangkat, seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-69 yang Beta pengerusikan buat julung-julung kalinya ini.
2. Pada hemat Beta, mesyuarat MKI yang diadakan pada pagi ini membuka satu lembaran baru dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia. Justeru, Beta juga ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan (JKTHEI) yang telah melaksanakan kajian yang amat mendalam untuk dipersembahkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-256 pada 18 Februari 2020. Jawatankuasa ini yang ditubuhkan melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-249 pada 10 Julai 2018 telah dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, serta dianggotai enam tokoh berwibawa Islam lain daripada pelbagai latar belakang, termasuk wakil dari Negeri Sabah dan Negeri Sarawak. Jawatankuasa ini telah memberikan banyak cadangan penambahbaikan yang membawa kepada usaha memartabatkan kembali peranan MKI di bawah naungan Majlis Raja-Raja. Antaranya adalah cadangan meminda Peraturan MKI khususnya dari segi struktur dan keanggotaan. Ini adalah susulan dari keputusan bersejarah Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 yang bersidang pada 9 dan 10 Mac 2022, yang telah membatalkan Peraturan MKI sejak penubuhannya 54 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1968 dan menggantikannya dengan Peraturan MKI 2022 yang baru.
3. Alhamdulillah, Beta bersyukur kerana diberi penghormatan untuk memegang amanah oleh Raja-Raja Melayu sebagai Pengerusi MKI yang baru. Insha Allah, Beta akan menggalas tugas ini dengan sedaya upaya Beta dengan penuh rasa tanggungjawab.
BACA: Mesyuarat MKI buka lembaran baharu mendaulatkan Islam di Malaysia - Sultan Selangor
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ahli-ahli Majlis yang dihormati:
4. Pentadbiran Agama Islam di Negara kita memiliki pelbagai ciri istimewa yang bertitik tolak daripada sejarah penyebaran Islam di Nusantara. Ia juga dipengaruhi susur galur penubuhan dan perkembangan pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu itu sendiri, sehinggalah terzahirnya penggabungan Negeri-Negeri tersebut di dalam Persekutuan Malaysia.
5. Sesungguhnya penyebaran syi‘ar Islam di Nusantara tidak dapat dipisahkan dengan sejarah perkembangan sistem pemerintahan beraja. Raja Pemerintah berperanan sebagai payung negeri dan teraju yang melindungi serta menggalakkan penyebaran ajaran Islam dalam kalangan rakyat jelata. Sebagai contoh, institusi Kesultanan Islam terawal di rantau ini iaitu Kesultanan Pasai, diasaskan sekitar tahun 1267 apabila Raja Samudera Pasai, Merah Silu, mengambil gelaran Sultan Malikul Saleh setelah memeluk Islam. Gelaran ini menzahirkan hasrat Baginda untuk menubuhkan pemerintahan yang berpandukan Islam, Iman dan Ihsan, selain mewarisi tradisi Khulafa al-Rasyidin sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.
6. Pada sekitar Abad ke-15 pula, penubuhan Kesultanan Melayu Melaka menjadi titik tolak penyebaran Islam yang lebih meluas ke Negeri-Negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Semasa kemuncak kekuasaannya, Kesultanan Melaka menggunakan pengaruhnya untuk meng-Islamkan penduduk di Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian Pantai Timur Sumatera. Pengaruh Sultan-Sultan Melaka juga amatlah besar, sehingga dikatakan boleh menggugat kemakmuran pedagang rempah atau the spice trade di Kota Venice. Maka tidak hairanlah, apabila penjajah Portugis ingin memperluas jajahan mereka di rantau Asia Tenggara, Kesultanan Melayu Melaka menjadi sasaran utama serangan tentera mereka untuk melumpuhkan kuasa umat Islam.
7. Meskipun Melaka secara politik jatuh pada tahun 1511, institusi Raja-Raja Melayu yang mewarisi aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan berakidah Imam al-Ash‘ari, fikah bermazhab Imam al-Syafi‘i, dan tasawuf bertarekat Imam al-Ghazali, serta adat istiadat, budaya dan keilmuan daripada Melaka terus berkembang, malah berjaya membentuk wajah dan identiti tamadunnya yang tersendiri di dunia. Sesungguhnya, tradisi inilah yang menjadikan acuan dan amalan Islam di Negara kita yang amat unik dan istimewa, dan perlu dijadikan pedoman dalam membuat sebarang keputusan penting berkaitan institusi Islam di Malaysia. Walaupun ketika Negeri-Negeri di Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Portugis, Belanda mahupun British, kuasa mutlak seseorang Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama Islam tidak pernah berubah, malahan terus dikekalkan sehinggalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada Hari Merdeka.
Ahli-ahli Majlis yang dihormati,
8. Sesungguhnya martabat Institusi Raja-Raja Melayu berada di atas sebarang percaturan parti politik (above party politics). Hal ini kerana Institusi Raja-Raja Melayu ialah pemegang amanah yang menjadi tonggak kesetiaan rakyat. Berpandukan prinsip ini, sewaktu Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 dan diikuti pula dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Perlembagaan yang digubal dengan jelas mengiktiraf segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah serta Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Kuasa-kuasa tersebut termaktub dalam Bahagian I, Perkara 3, selain peruntukan berkaitan dalam Bahagian IV, Perkara 34 dan 38, serta Bahagian V, Perkara 70 dan 71. Perkara ini juga turut diperincikan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-negeri, serta Enakmen Pentadbiran Islam di peringkat negeri masing-masing.
9. Memandangkan asas undang-undang Negara kita meletakkan kuasa-kuasa mutlak tersebut sebagai hak Raja-Raja Melayu, maka jelaslah bahawa Majlis Raja-Raja berperanan sebagai badan tertinggi untuk membahaskan isu-isu berkaitan Agama Islam, selain memutuskan hal-hal penting bersabit dengan amalan dan aturan Agama Islam di Malaysia. Amalan ini tidak jauh bezanya daripada kelaziman pemerintahan Khalifah Usmaniyah, yang sangat mementingkan hubungan rapat di antara Sultan dan Syeikhul Islam atau muftinya, malah turut menyantuni pemimpin agama-agama lain yang bernaung di bawah pemerintahannya. Bahkan amalan ini masih diteruskan di Negara-Negara Islam yang mengamalkan pemerintahan beraja sehingga ke hari ini seperti di Maghribi, Jordan dan Brunei.
10. Bertitik tolak daripada lakaran sejarah yang telah lama terpahat di Negara ini, Beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan ucapan terimakasih Beta kepada YAB Perdana Menteri bagi pihak Majlis Raja-Raja di atas pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri dari kalangan bukan ahli politik bagi menjamin prinsip pengasingan kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pentadbiran Agama Islam di antara Eksekutif dan Raja-raja Melayu dipelihara. Ini juga bersesuaian dengan prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan.
11. Dengan pelantikan Menteri Hal Ehwal Agama yang baru ini adalah diharapkan hubungan kerjasama antara Persekutuan dan Negeri-negeri dalam hal pentadbiran Agama Islam akan terjalin dengan lebih erat selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Seharusnya syi‘ar Islam diletakkan di tahap yang tertinggi, lebih tinggi daripada persaingan yang mungkin boleh mengakibatkan pertelagahan dan perpecahan ummah. Pesanan Beta kepada ahli-ahli Majlis pada hari ini, hormatilah pandangan Negeri-Negeri, dan jagalah hubungan baik Persekutuan dengan Negeri-Negeri agar pentadbiran Agama Islam di Negara ini dapat berjalan dengan licin dan penuh persefahaman.
12. Majlis Raja-Raja telah menzahirkan persetujuan untuk memperkasakan semula peranan MKI sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus Agama Islam di peringkat Persekutuan. Usaha ini amatlah penting agar MKI mampu mengimbangi antara kuasa, hak dan peranan Raja-Raja Melayu di dalam hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan serta menjaga hubungan baik dengan Negeri-negeri. Usaha ini juga bertujuan memenuhi aspirasi Umat Islam di Malaysia, terutama yang berkaitan dengan dasar bidang pengurusan, perundangan, pendidikan dan penyelarasan fatwa. MKI juga berperanan untuk memastikan peranan utama mentadbir Institusi Agama Islam diserahkan kepada golongan ulama dan profesional yang bebas daripada sebarang pengaruh parti politik, dan mampu melaksanakan tanggungjawab selari dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
13. Untuk memastikan hasrat yang dizahirkan Majlis Raja-Raja berkenaan memperkasakan MKI dapat dilaksanakan dengan lancar, sukacita Beta umumkan bahawa ‘Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022’ telah diperkenankan sebagai usaha menambah baik urusan perjalanan MKI. Antara lain, Peraturan Baru MKI ini memperjelaskan garis panduan berkenaan struktur MKI yang terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik khas mewakili Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri. MKI juga diberi mandat untuk menubuhkan 4 Jawatankuasa berikut untuk menguruskan perkara berkaitan fungsinya iaitu:
• Pertama: Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dianggotai mufti-mufti dan alim ulama seluruh Malaysia, ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada tahun 1970 dan pernah dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan;
• Kedua: Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan yang dianggotai wakil negeri masing-masing yang dilantik oleh Raja Negeri itu, ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada tahun 1983 yang dahulu dikenali sebagai Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI);
• Ketiga: Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan yang dianggotai wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan Raja Negeri itu, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri;
• Keempat: Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, dianggotai ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang syarak dan juga undang-undang sivil.
14. Selaras dengan pengenalan Peraturan baru MKI 2022 itu juga, maka dengan ini Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) julung kalinya dilantik sebagai Setiausaha kepada MKI, manakala JAKIM pula secara rasmi bertindak sebagai urus setia kepada MKI.
15. Susulan penubuhan MKI oleh Majlis Raja-Raja pada tahun 1968, tertubuh satu agensi Agama Islam di peringkat Persekutuan pada tahun 1969 sebagai sebuah sekretariat di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Pada tahun 1971, sekretariat itu berubah menjadi Unit Hal Ehwal Islam, kemudian pada tahun 1974, ia menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) di JPM. Akhirnya pada tahun 1997, BAHEIS dinaik taraf menjadi sebuah jabatan kerajaan yang kini dikenali sebagai JAKIM.
16. Ramai yang sudah lupa sejarah dan asal usul JAKIM yang lahirnya di serambi istana. Kini dengan kembalinya MKI di bawah naungan Raja-Raja Melayu, maka JAKIM telah kembali ke serambinya, bagaikan sirih pulang ke gagang. Telah jauh kita berjalan, berkali tersesat, tiba masanya kita baliklah ke pangkal jalan.
17. Untuk makluman Ahli-ahli Majlis, Beta telah berkenan melantik Pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli bagi empat (4) Jawatankuasa yang Beta sebutkan tadi setelah Beta mendapatkan pandangan dari pihak-pihak yang berkaitan bagi memastikan mereka yang dilantik terdiri dari kalangan mereka yang berwibawa dan mempunyai kepakaran masing-masing.
18. Beta berharap mesyuarat pada pagi ini akan menjadi titik tolak yang penting khususnya dalam usaha untuk mengembalikan peranan mentadbir Agama Islam kepada pihak yang berhak. Besarlah harapan Beta agar semua pihak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu. Beta yakin dengan bermulanya lembaran baru ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara Raja-Raja Pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dan membolehkan hubungan yang lebih akrab dengan Negeri-Negeri, selari dengan lunas-lunas Perlembagaan. Beta juga berharap para Wakil Rakyat dan Menteri yang dipilih rakyat akan menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi oleh rakyat, serta mengembalikan kemakmuran dan kegemilangan Negara, sebagaimana yang telah diamanahkan.
19. Baru-baru ini Beta telah membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan LGBT dan konsep Negara sekular. Jaminan yang diberikan YAB Perdana Menteri adalah bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius di dalam memelihara prinsip Islam yang beteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
20. Mengakhiri titah, Beta menyeru agar kesemua pihak memberikan sokongan dan dukungan padu kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan MKI dan meletakkan pentadbiran Institusi Agama Islam di peringkat Persekutuan pada landasan yang sepatutnya. Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang telah dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi Negara kita dan umat Islam. Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baru MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan mindset yang baru, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia. Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wata‘ala memberkati usaha ini dan memberikan pedoman kepada kita semua. Semoga Negara kita Malaysia senantiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat dari-Nya, Amin ya Rabbal Alamin.
21. Beta akhiri dengan petikan dari Gurindam Dua Belas gubahan Raja Ali Haji, seorang ulama keturunan Beta, sebagai pesanan buat kita semua:
Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh inayat.
Kasihan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.
Sekian.
Wa-billahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #mendaulatkan Islam #Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
;