Titah pandangan Sultan Selangor perlu diberi perhatian - Khalid Jaafar
Astro Awani
Ogos 23, 2021 14:19 MYT
Ogos 23, 2021 14:19 MYT
KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar ahli politik menghentikan perbalahan dan perebutan kuasa harus diberi perhatian sewajarnya.
Pengerusi Institut Kajian Dasar, Datuk Khalid Jaafar, menyifatkan titah Sultan Selangor itu sebagai satu pencerahan agar ahli politik tidak menjadikan jawatan untuk merebut kuasa.
"Itu satu titah nasihat yang sangat penting yang perlu didengar oleh semua pihak. Dan tentunya Tuanku bertitah berdasarkan apa yang berlaku dalam negara kita mutakhir ini.
"Kalau kita lihat apa yang berlaku, ada pihak yang berusaha menjatuhkan kerajaan hingga tumpuan kerajaan terkalih daripada usaha menyelamatkan rakyat dari pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi kepada menguruskan hal politik.
"Tentunya Tuanku Sultan Selangor melihat perkara ini amat tidak sihat ketika negara sedang berdepan krisis," katanya kepada Astro AWANI.
Ketika bertitah pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi peringatan kepada anggota Dewan, agar terus menjalankan tugas dan memberi khidmat dengan ikhlas dan amanah, serta menghentikan perbalahan dan perebutan kuasa.
Khalid juga berpendapat, titah pandangan Sultan Selangor tentang amalan rasuah yang masih berleluasa dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam perlu diberi perhatian.
Jelas beliau, ahli politik dan penjawat awam perlu memberi perhatian dari segi aspek moral dan akhlak agar tidak terjebak dalam aktiviti rasuah.
"Rasuah perlu dilihat sebagai satu jenayah dan dosa besar yang perlu kita hindari, jadi titah Tuanku sangat perlu diberi perhatian.
"Rakyat sangat menolak amalan rasuah sehingga kita lihat puak kleptokrasi ditolak dalam pilihan raya yang lalu, jadi saya rasa titah nasihat tuanku itu amat relevan," katanya lagi.
Persidangan pertama DUN Selangor penggal ke-14 bakal berlangsung sehingga 3 September nanti.