Titah Diraja sebagai peringatan, wakil rakyat elak pertelingkahan - Pakar

Azib Zikry
Julai 20, 2024 12:32 MYT
SIVAMURUGAN: Sultan Ibrahim mahu melihat lahirnya seorang wakil rakyat yang budiman, tinggi budi bicaranya, berbudi pekerti, yang akan dicontohi dan diteladani oleh rakyat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pastinya mahukan barisan wakil rakyat yang budiman dan bijak, dalam mempertimbangkan segala ucapan, tingkah laku dan gerak langkah mereka.
Ini supaya, negara ini dapat bergerak ke arah kemakmuran yang terpelihara, kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Beliau berkata demikian menyorot kembali titah diraja yang disampaikan oleh Sultan Ibrahim pada pembukaan sesi Dewan Rakyat, Februari lalu.
“Saya percaya Sultan Ibrahim sebenarnya menyuarakan hasrat, ketika titah diraja pembukaan kali pertama, supaya wakil rakyat yang ada dalam Dewan Rakyat faham tujuan dan matlamat mereka dipilih.
“Apakah sebenarnya mereka perlu lakukan? Ada perkara yang seharusnya diberi keutamaan, supaya negara bergerak ke hadapan, kemakmuran terpelihara dan kesejahteraan tidak akan terjejas,” katanya.
Beliau yang merupakan Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM berkongsi pandangan sedemikian dalam program Buletin AWANI Khas sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.
Baginya, ketegasan Sultan Ibrahim, terutamanya dalam pemerintahan, seharusnya dijadikan peringatan buat semua wakil rakyat, supaya tidak menyentuh isu sensitif yang boleh memporak-perandakan negara.
Ini kerana, menurut Sivamurugan, pertelingkahan yang disebabkan oleh perkara yang tidak penting hanya akan menimbulkan kegusaran dalam pemerintahan negara.
“Sebab itu saya rasakan bahawa, Sultan Ibrahim mahu melihat lahirnya seorang wakil rakyat yang budiman, tinggi budi bicaranya, berbudi pekerti, yang akan dicontohi dan diteladani oleh rakyat.
“Kalau dulu tidak ada siaran langsung untuk melihat tingkah laku perwakilan rakyat, sekarang ini ruang lebih besar.
“Oleh itu, wakil rakyat perlu mengelakkan pertelingkahan, terutamanya perkara yang boleh dielak. Ada perkara tak boleh usik. Ada yang harus diusik, sepatutnya diperkukuhkan,” tambahnya.
#Yang di-Pertuan Agong #Sivamurugan Pandian #Sultan Ibrahim #Dewan Rakyat
;