Titah Agong beri isyarat kerajaan perlu tingkat rundingan dengan parti komponen, pembangkang- Penganalisis
Rahimah Abdullah
Oktober 25, 2020 19:16 MYT
Oktober 25, 2020 19:16 MYT
KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan mengisytiharkan darurat di negara ini memberi isyarat kepada kerajaan untuk meningkatkan rundingan antara parti komponen dan parti pembangkang.
Penganalisis Politik, Prof. Dr Hamidin Hamid berkata, ia sekali gus mampu menunjukkan kematangan ahli politik dalam menjaga kepentingan negara, melangkaui kepentingan peribadi dan parti masing-masing.
Pada masa sama, penolakan darurat itu melambangkan proses demokrasi di negara ini.
"Apa yang perlu dilihat ialah bagaimana proses itu tidak perlu lagi sampai kepada Agong, kerajaan hendaklah lakukan lebih banyak rundingan baik dengan parti komponen atau pembangkang.
"Di sinilah nak tunjuk kematangan ahli politik menjaga kepentingan negara yang mengatasi kepentingan individu dan parti mereka," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Ahad.
Dalam konteks pandemik COVID-19 dan menjelang pembentangan Belanjawan 2021, penolakan itu menunjukkan Parlimen adalah tempat terbaik untuk pemimpin dan ahli-ahli politik duduk berbincang dalam suasana matang.
"Seharusnya penolakan ini menunjukkan ahli politik dan pemimpin harus duduk bersama dan duduk berbincang dan tempat terbaik ialah di Parlimen. Kematangan itu diharap akan harus ditunjukkan parti politik," tambahnya.
Ujarnya lagi, rundingan di Parlimen juga akan memastikan proses semak dan imbang dapat dilakukan melalui peraturan-peraturan ditetapkan.
"Jadi ketika ini apa yang paling penting bagi pihak kerajaan untuk meyakinkan pembangkang atau Ahli Parlimen lain bahawa kesepakatan itu penting dalam usaha untuk memastikan Belanjawan diluluskan dan polisi lebih jelas diambil melibatkan COVID-19," kata beliau lagi.
Kata beliau, COVID-19 tidak mengenal sesiapa sahaja serta memerlukan penglibatan dan pandangan semua pihak.
#Yang di-Pertuan Agong
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#tiada keperluan
#darurat
#Istana Negara
#Prof Dr Hamidin Hamid
#penganalisis politik