Titah Adendum: Sokongan Ahmad Zahid kepada Najib tulus, sejati - Megat Zulkarnain
Firdaus Azil
April 18, 2024 15:17 MYT
April 18, 2024 15:17 MYT
KUALA LUMPUR: Sokongan yang dizahirkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum YDP Agong mengenai tahanan rumah, adalah tulus dan sejati.
Perkara itu diungkapkan Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang juga Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid, sewaktu menyaksikan Presiden UMNO itu menandatangani afidavit sokongan beliau pada 9 April lepas.
Dalam catatan di laman media sosialnya, Megat Zulkarnain berkata, tandatangan itu diturunkan tidak sampai 24 jam Ahmad Zahid pulang daripada menunaikan umrah.
“Sekilas saja ingatan saya terus melayang tatkala Mahkamah Persekutuan(23 Ogos 2022) memerintahkan Dato Sri Najib dihantar ke Penjara Kajang masih terngiang nama Zahid yang pertama keluar dari mulut Bossku.
“Datuk Seri Zahid yang terpempan di galeri awam mahkamah bingkas bangun mendapatkan Bossku. Genggamam erat tangan dua sahabat walaupun terlepas apabila Bossku diiringi untuk ke penjara kajang namun tali persahabatan kedua mereka tidak putus.
“Sejak dari itu Datuk Seri Zahid tidak pernah berhenti melakukan usaha demi sahabatnya yang dipenjara,” katanya lagi.
Ahmad Zahid dalam afidavitnya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.
"Beliau menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
"Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada tahanan rumah dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
"Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama," katanya dalam afidavit berkenaan.
Dalam pada itu Megat Zulkarnain berkata, sokongan Ahmad Zahid terhadap Najib sekali gus menyanggah kritikan bahawa beliau tidak pernah berbuat apa-apa untuk membela bekas Perdana Menteri itu.
“Mengenali Datuk Seri Zahid sedekah yg dihulur pun tak pernah nak dijaja apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya. Walau ada yg bertanya apa Zahid buat utk membela bossku?
“Cukup untuk saya menyebut sebagai orang yang sering menjadi perantara dan sebagai seorang yang amat rapat dgn Datuk Seri Najib serta keluarganya, tidak ada satu ruang perundangan mahupun rundingan yang dilepaskan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid untuk membela nasib Bossku,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan tindakan Ahmad Zahid itu bukan sekadar untuk dijaja atau dijadikan drama, tetapi kerana langkah yang diambil adalah di atas keikhlasan dan kesetiaan.