Titah Adendum: Anwar serah kepada Agong isu Najib

Astro Awani
Disember 10, 2024 14:26 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan mengemukakan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.

Ringkasan AI
  • Pertimbangan Titah Adendum: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa isu titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak telah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
  • Kriteria Pertimbangan: Lembaga Pengampunan akan mempertimbangkan beberapa faktor seperti perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa sebelum membuat keputusan pada masa yang sesuai.
  • Penolakan Permohonan Najib: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap titah adendum tersebut, dan Najib telah memfailkan notis rayuan pada 9 Julai.

Perdana Menteri menjelaskan, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan pada masa yang difikirkan sesuai.
"Cuma kerana perkara ini terus dibangkitkan, saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang (Sultan Ibrahim). Untuk pada masa yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong, merujuk kepada Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang.
"Semalam kebetulan di Johor Bahru perkara ini dibincang sepintas lalu, sekali lagi kerana Tuanku Agong nak tahu perkembangan yang terkini. Jadi kita serah kepada wewenang Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Pertama, membawa dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menimbangkan sebaiknya.
"Sebagai seorang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya siapapun berhak untuk diberi pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan 'fountain of mercy'," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
PM akui bawa kes Najib ke Lembaga Pengampunan
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) sama ada Anwar bercadang untuk menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang didakwa mengeluarkan titah tersebut untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
#Anwar Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #Najib Razak #Titah Adendum #lembaga pengampunan #terkini
;