Tiru Sambal Nyet, Khairul Aming hantar surat tuntutan
Astro Awani
Disember 28, 2023 04:41 MYT
Disember 28, 2023 04:41 MYT
KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan usahawan, Khairul Aming, telah menghantar surat tuntutan kepada seorang usahawan yang didakwa meniru produk 'Sambal Nyet' miliknya.
Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti identiti usahawan berkenaan.
Beliau berkata, peguamnya telah pun menghantar surat tuntutan bagi pelanggaran hak harta intelek.
“Terdapat lapan tuntutan yang kami senaraikan, dan sekiranya dia gagal memenuhi semua tuntutan ini, kami akan membawa kes ini ke peringkat seterusnya.
“Sambal Nyet telah didaftarkan sebagai tanda dagangan dengan MyIPO dan diluluskan pada 2 November 2021,” katanya.
Tambah Khairul Aming, dia menyokong perniagaan usahawan kecil, namun hanya jika ia dilakukan dengan beretika.
“Kalau ada produk, juallah menggunakan identiti dan jenama sendiri. Carilah rezeki dengan cara yang berkat,” katanya.
Terdahulu, seorang usahawan tular di media sosial apabila menggunakan nama 'Sambal Nyet' sebagai nama produk pes cili yang dijualnya.
Peniaga itu turut didakwa menggunakan format pemasaran yang serupa dengan Sambal Nyet milik Khairul Aming.