Tirai besi jadi saksi penyesalan 'si pendosa'

Hasimi Muhamad
November 23, 2019 09:27 MYT
Namun, siapa mereka untuk melawan takdir yang sudah tertulis apabila hanya tirai besi menjadi saksi penyesalan dan tangisan malam.
MENJADI penghuni tirai besi pada usia belasan tahun bukanlah kemahuan, namun darah muda menguasai diri mengakibatkan mereka terjebak dalam kancah jenayah.
Jauh di sudut hati, 'si pendosa' itu menginginkan seribu keampunan dan peluang atas segala kesilapan lampau.
Namun, siapa mereka untuk melawan takdir yang sudah tertulis apabila hanya tirai besi menjadi saksi penyesalan dan tangisan malam.
Seorang banduan akhir penjara Sungai Buloh yang hanya mahu dikenali sebagai Komander akur walaupun perit untuk menerima hakikat bahawa sisa hidupnya mungkin berakhir di penjara, tetapi lelaki berusia 50 tahun itu bersyukur dimasukkan ke penjara.
Baginya, sepanjang 11 tahun berada di penjara Sungai Buloh, ilmu agama dan ayat suci al-Quran sahajalah menjadi petunjuk dan pendampingnya.
“Banyak berbeza ketika saya berada di luar saya banyak ingkar peringtah Allah dan Alhamdulillah di sini saya dapat menunaikan perintah-Nya.
“Saya terlalu menyesal terhadap apa yang berlaku kepada saya tetapi di dalam penyesalan itu, saya terfikir balik, Alhamdulillah juga saya masuk ke sini.
"Saya dapat menunaikan perintah-perintah Allah. Itu yang paling saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Dia yang disabitkan atas kesalahan membabitkan dadah tidak menyangka kawan yang pernah menjadi kepercayaan sebenarnya ‘duri dalam daging’.
Enggan menyalahkan sesiapa di atas kesalahan diri sendiri, Komander redha dengan nasib yang menimpa dirinya.
Seorang lagi banduan terakhir yang dikenali sebagai Zul, 36 tahun, turut mengakui perkara sama apabila penjara menjadi titik tolak kepada perubahan sisa hidupnya.
Matlamatnya satu, menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah S.W.T dan menjadi anak yang berbakti kepada kedua orang tua.
Tetapi Zul yang sudah 18 tahun dipenjarakan sedar, hanya doa yang mampu dipanjatkan kerana dia kini tidak mampu menjaga ibu bapanya yang semakin dimamah usia.
“Perkara pertama saya tanam dalam diri semasa berada di sini adalah untuk belajar al-Quran sebab katakanlah suatu hari nanti ibu bapa saya meninggal dunia, saya nak bacakan surah Yasin pun tidak tahu.
“Jadi, saya tanamkan dalam diri saya supaya sebelum ibu bapa saya meninggal dunia, saya boleh membaca al-Quran, maka sedikit sebanyak saya boleh hadiahkan kepada arwah ibu saya bacaan Yasin,” katanya.
Sekental mana hati, Zul tetap tidak mampu sembunyikan rasa rindu yang ditanggungnya selama ini.
#Banduan akhir #hukuman gantung #Islam #Penjara Sungai Buloh #Penyesalan di sebalik tirai besi #Sesalan seorang banduan
;