Tipu umrah: Polis kesan terdapat unsur penipuan

Bernama
Januari 19, 2025 17:20 MYT
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika ditemui wartawan selepas sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor hari ini.- Foto Bernama
SHAH ALAM: Polis mengesan terdapat unsur penipuan berhubung kes sebuah syarikat yang didakwa melakukan penipuan pakej umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata siasatan juga mendapati pemilik syarikat terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kes penipuan berkaitan pelaburan di Johor tahun lepas, yang masih dalam siasatan.
"Kita dapati memang ada unsur penipuan kerana dari segi proses permohonan visa, tempahan penerbangan, penginapan di Arab Saudi dan sebagainya tidak dibuat melalui proses yang betul seperti kebiasaan dilakukan pengusaha syarikat seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media kejayaan tangkapan dan rampasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata pasangan suami isteri yang merupakan pemilik syarikat itu kini diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut, manakala enam lagi yang direman diberikan jaminan polis.
Sebelum ini Hussein dilaporkan berkata lapan individu berkenaan direman selama tiga hari berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah.
Beliau berkata setakat ini polis menerima 42 laporan membabitkan mangsa, ejen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan pihaknya sedang memanggil saksi-saksi serta mangsa untuk membantu melengkapkan siasatan.
"Kita juga dapati mereka ini menggunakan ejen-ejen, sebab itu kes ini melibatkan negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Johor. Jadi, buat masa ini pasangan suami isteri akan diambil alih oleh polis Johor," katanya.
Pada Rabu lepas, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan berkenaan di Sepang.
Pada petang hari sama, pengarah urusan syarikat terbabit melakukan sidang media di ibu negara sebelum keadaan bertukar kecoh apabila lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan susulan kegagalan syarikat itu menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci.
Siasatan awal mendapati syarikat terbabit mula menjalankan perniagaan sejak 2022 dan beroperasi dari premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lepas.
-- BERNAMA
#tipu umrah #unsur penipuan #penipuan berkaitan pelaburan #Hussein Omar Khan
;