Tipu projek gali pasir tidak wujud, empat beranak didakwa
Bernama
Januari 20, 2022 15:13 MYT
Januari 20, 2022 15:13 MYT
MELAKA: Seorang bapa bersama tiga anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan bersubahat menipu sebuah syarikat berhubung projek menggali pasir yang tidak wujud melibatkan kerugian RM1 juta.
Wong Tiing Kiong, 63, didakwa atas dua pertuduhan dengan curangnya menipu dan memperdayakan Chong Teamwork Marketing Sdn Bhd dengan menawarkan projek menggali pasir sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan wang berjumlah RM1 juta melalui dua keping cek berjumlah RM500,000 setiap satu.
Anaknya Amy Wong E Tim, 32; Wong Sing Kung, 42; dan Felix Wong Sing Jie, 26, menghadapi pertuduhan bersubahat dengan Wong berhubung pertuduhan menipu.
Mereka masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Sesyen.
Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Melaka Raya pada 10.10 pagi 19 April 2019 mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM400,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Wong memandangkan kerugian yang dialami mangsa adalah RM1 juta.
Peguam Paul Krishnaraja memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya yang menetap di Sarawak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa semasa siasatan.
Hakim Nariman Badrudin membenarkan Wong diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, di hadapan Hakim Maziah Joary Tajudin, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tiga anak Wong, namun Paul memohon jaminan minimum kerana ketiga-tiga tertuduh memberi kerjasama.
Maziah Joary membenarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Februari untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA