Tipu pelaburan flat kos sederhana, peguam wanita didakwa

Astro Awani
April 4, 2017 16:16 MYT
J. Shanti, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir dan Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah. -Gambar hiasan
Seorang peguam wanita dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua individu berhubung pelaburan bagi mendapatkan rumah flat kos sederhana berjumlah RM450,000 Julai tahun lalu.
J. Shanti, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir dan Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Pada pertuduhan pertama, dia didakwa menipu seorang wanita, Saw Lae Kun, 31, dengan memperdaya mangsa untuk melabur bagi mendapatkan flat kos sederhana yang tidak wujud serta mendorong Lae Kun menyerahkan wang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun Maybank miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis E-5-05, Blok Oasis Square, no. 2, Jalan PJU A1/7A Ara Damansara, dekat sini, pada 6 Julai 2016.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap seorang pengarah syarikat alat ganti kenderaan, Teh Jit Keong, 46, dengan mendorong mangsa menyerahkan dua keping cek bernilai RM300,000 ke dalam akaun Maybank miliknya pada tarikh dan tempat sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Zaki Asyraf dan Fadzlin Suraya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan serta menetapkan 4 dan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.
#flat kos sederhana #J. Shanti #Mahkamah Majistret #menipu dua individu #pelaburan
;