Tipu pelaburan emas: Pembantu perawatan kesihatan mengaku tidak bersalah

Bernama
April 27, 2022 17:39 MYT
Tertuduh didakwa memperdaya mangsa membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang pembantu perawatan kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan menipu rakan sekerjanya dengan tawaran pelaburan emas yang tidak wujud membabitkan kerugian RM61,050 tahun lepas.
Nurfatin Natasha Abdullah, 28, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Aida Masirah Mohd Salleh, 51, di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di antara 25 November hingga 21 Disember 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Aida Masirah sehingga mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry tidak menawarkan jaminan kepada Nurfatin Natasha kerana kes itu serius dan membabitkan penipuan manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon supaya dibenarkan diikat jamin dengan kadar minimum.
Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#pelaburan emas #sindiket penipuan #scam #mahkamah
;