Tipu NFCorp: 'Saya mahu betulkan keadaan' - Shamsubahrin
Astro Awani
Mei 22, 2015 16:40 MYT
Mei 22, 2015 16:40 MYT
Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail yang dijatuhi hukuman penjara dan sebatan kerana pertuduhan menipu Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mahu membetulkan keadaan dengan menebus hutang syarikat itu yang berjumlah RM250 juta.
Jelasnya, ia dilihat usaha membetulkan keadaan dan menyelamatkan semua isu serta persepsi negatif rakyat terhadap NFCorp.
"Saya mahu pulihkan hutang NFCorp. Saya sudah membuat perbincangan dengan beberapa pihak dan mendapat sokongan untuk usaha itu.
"Saya juga akan melaksanakan semula projek itu dan melihat secara positif kemampuan NFCorp dalam memberi keuntungan jangka masa panjang," katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Pada 18 Mei lepas, Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman penjara antara lima dan lapan tahun serta empat sebatan terhadap Shamsubahrin, bagi lima pertuduhan menipu manakala penjara antara enam bulan dan lima tahun bagi 17 pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Bagaimanapun, Shamsubahrin hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula hari dia dijatuhkan hukuman.
Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, ada beberapa kekangan yang menghalangnya untuk melunaskan hutang itu.
"Beberapa pelabur sudah menyatakan persetujuan untuk menyuntik modal sekali gus membantu menyelesaikan hutang ini.
"Saya melihat usaha ini merupakan jalan terbaik menyelesaikan kemelut dan bergerak atas kapasiti sendiri," ujarnya.
Dalam pada itu ketika mengulas hukumannya, Shamsubahrin menjelaskan barisan peguamnya sedang meneliti semula kes itu untuk dirayu di Mahkamah Tinggi.
"Kali ini kita akan menambah peguam dan permohonan rayuan juga sudah dihantar ke Mahkamah Tinggi," ujarnya.