Tipu bantuan e-Kasih: Buruh dihukum penjara, sebat lagi

Abd Razak Mohd Ali
Julai 25, 2024 13:45 MYT
Muhammad Halmi Ismail dibawa ke Mahkamah Majistret Lenggong hari ini.
LENGGONG: Seorang buruh yang dihukum 21 tahun dua bulan penjara dan 14 sebatan kerana menipu menggunakan nama bantuan e-Kasih semalam, didakwa sekali atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Kali ini, tertuduh Muhammad Halmi Ismail, 49, dikenakan hukuman penjara 42 bulan dan lima sebatan selepas mengaku bersalah di atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.
Bapa empat anak itu bagaimanapun hanya perlu menjalani penjara dua tahun kerana hukuman penjara itu berjalan serentak selepas tamat tempoh pemenjaraan di Alor Setar dan Ipoh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan dua lelaki berusia 73 tahun dan 62 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM900 bagi tujuan pendaftaran akaun e-Kasih yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada Rabu, dua Mahkamah Majistret Ipoh menjatuhi hukuman penjara berjumlah 21 tahun dua bulan dan 14 sebatan terhadap seorang buruh lelaki atas 13 pertuduhan melakukan penipuan berkaitan bantuan eKasih.
Bagaimanapun, dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama empat tahun selepas Majistret Siti Nora Sharif dan Majistret S.Punitha memerintahkan ia berjalan serentak mulai tarikh sabitan semalam.
#kes tipu bantuan #e-Kasih #hukuman penjara #Perak
;