Tips penjagaan kesihatan mental buat mangsa banjir
Israr Khalid
Disember 22, 2021 11:10 MYT
Disember 22, 2021 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Mungkin sebahagian daripada mangsa banjir yang teruk terkesan dapat mengharungi tempoh sukar ini dengan baik, namun ada juga yang berdepan kesukaran untuk kekal waras.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri merangkap Pengarah UMCARES Universiti Malaya, Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkongsi beberapa panduan bagi memastikan kesihatan mental tetap terjaga biarpun dirundung musibah.
Pertama, katanya, mangsa banjir yang terbabit perlu dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya.
“Kita tahu dalam keadaan tertekan disebabkan hilang tempat tinggal, terpaksa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) yang tak begitu selesa, mungkin sehelai sepinggang, sehingga menyebabkan kita rasa maruah kita tercabar, di sini perlunya tidur dan rehat yang sekata.”
Kedua, wujudkan rutin daripada hal-hal yang dapat kita kawal.
“Banyak perasaan resah gelisah ini disebabkan oleh perasaan yang di luar kawalan, rasa tidak mampu untuk mengawal persekitaran.
“Jadi mungkin kita perlu ada waktu bangun yang tetap contohnya, kalau orang Islam insya-Allah pastikan kita sembahyang ikut masa supaya kita ada rutin harian yang sama seperti sebelum situasi ini berlaku.”
Ketiga, jangan tinggal makan untuk dapatkan nutrisi yang diperlukan tubuh.
“Saya faham, kita kadang-kadang risau sampai tak makan, tapi kita perlu makan.”
Keempat, fikirkan perkara-perkara positif serta menghitung kesyukuran terhadap perkara yang masih kita miliki.
“Ketika ada yang kehilangan nyawa, Alhamdulillah kita masih hidup.
“Jadi, sifat bersyukur itu dapat membantu kita menaikkan semangat untuk meneruskan kehidupan senormal yang boleh selepas semua ini berlaku.”
Namun sekiranya anda atau orang yang anda kenali masih mengalami simptom kecelaruan stres pasca-trauma, atau post-traumatic stress disorder (PTSD) yang berlarutan, segera dapatkan khidmat kaunseling dan bantuan dari pihak perubatan yang ada.
Tonton temu bual penuh Amer Siddiq dalam program Agenda AWANI bersama hos Essan Yahya, di sini: