Tip elak kesesakan sempena cuti musim perayaan minggu depan
Astro Awani
September 8, 2016 21:44 MYT
September 8, 2016 21:44 MYT
Bersempena cuti musim perayaan pada minggu depan, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Johor disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 3 petang.
Manakala, orang ramai yang menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.
Itu merupakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersempena cuti musim perayaan bertujuan untuk mengelakkan kenderaan yang menuju destinasi berlainan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya dan seterusnya menyebabkan kesesakan.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid dalam satu kenyataan berkata TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu mengagihkan trafik di lebuh raya.
"Apabila ramai mematuhi jadual perjalanan ini, ia dapat mengelakkan kenderaan yang menuju pelbagai destinasi di utara dan selatan bertembung di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama.
“Lonjakan jumlah kenderaan di lokasi dan pada masa yang sama sering menyumbang kepada kesesakan lalulintas pada musim perayaan dan waktu-waktu puncak,” katanya.
PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari-hari puncak sepanjang perayaan Hari Raya Aidiladha, Hari Malaysia dan musim cuti persekolahan ini.
Peningkatan tersebut adalah sebanyak 15 peratus berbanding 1.4 juta pada hari-hari biasa.
“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan di antara 9 September hingga 19 September ini supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan.
"Berdasarkan kajian kami pada musim-musim perayaan yang lalu, perjalanan di lebuh raya adalah lebih lancar apabila lebih ramai yang mematuhi TTA,” kata Noorizah.