Tinjauan Merdeka Center: 'Saya tidak akan layan', kata Hishammuddin

Astro Awani
Mac 12, 2015 21:17 MYT
Hishammuddin tidak melayan tinjauan yang mengaitkan dirinya sebagai pengisi tempat Perdana Menteri. - Gambar fail
Hasil sebuah tinjauan yang meletakkan nama Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pendahulu senarai pilihan bagi mengambil alih kedudukan Perdana Menteri telah disangkal oleh Menteri Pertahanan itu, yang mendakwa bahawa kaji selidik tersebut adalah usaha untuk menggoyahkan kestabilan UMNO.
Hishammuddin yang dilaporkan ditemui dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini menyifatkan undian awam yang dijalankan portal Merdeka Center itu tidak perlu diberi perhatian kerana usaha seumpamanya sering memberikan kebarangkalian yang berubah-ubah dan tidak boleh diduga.
"Jangan bergantung pada tinjauan. Ada tinjauan yang lebih kurang sama pernah dijalankan beberapa bulan lalu sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang menunjukkan bahawa saya tidak layak untuk menjadi Naib Presiden UMNO.
“Sekarang ada pula yang menyatakan bahawa saya mengambil alih tempat Perdana Menteri,” ujar beliau yang merumuskan hal berkenaan secara tidak langsung menunjukkan betapa tinjauan sebegitu tidak boleh dipercayai.
Tinjauan yang dilakukan Merdeka Center dari 21 hingga 30 Januari mendapati, 19.8 peratus daripada 1,008 responden memilih Hishammuddin sebagai bakal perdana menteri, mendahului calon-calon pilihan lain seperti Khairy Jamaluddin (8.6 peratus), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (8.4 peratus), Rafizi Ramli (3.9 peratus), Mohamed Azmin Ali (3.7 peratus) dan Nurul Izzah Anwar (1.7 peratus).
"Ini usaha untuk laga-lagakan kita saja. Saya tidak akan layan," ujar beliau.
#Hishammuddin Hussein #Merdeka Center #Perdana Menteri #tinjauan
;