Tinjauan Astro AWANI: Apakah nasib si penjual lemang tatkala PKP?
Isabelle Leong
Mei 7, 2021 05:41 MYT
Mei 7, 2021 05:41 MYT
KUALA LUMPUR: Tahun ini merupakan kali kedua umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan larangan rentas daerah dan negeri dengan pelbagai sekatan serta prosedur operasi standard (SOP).
Ketupat, rendang serta lemang pastinya menjadi juadah raya meskipun tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk beraya.
Persoalannya, bagaimana pula dengan nasib peniaga terutamanya si penjual lemang?
Bagi pengusaha Lemang Daun Lerek Greenwood di Gombak, Mohd Arifin Zakaria, 62, dia akui bimbang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah dilaksanakan buat kali ketiga itu sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan dan pengoperasiannya.
Berbekalkan pengalaman daripada PKP lepas, Arifin atau lebih mesra disapa Cik Ipin menggunakan kaedah berbeza iaitu platform dalam talian untuk mempromosikan jualan lemangnya.
“Kami mengambil tempahan menerusi dalam talian orang. Kami terpaksa menyelesaikan tempahan dalam talian kerana mereka sudah bayar.
“Secara tidak langsung, kami tidak dapat menjual kepada pelanggan lain yang ‘walk-in’. Mereka marah kerana melihat lemang yang banyak hasil tempahan dalam talian tetapi kami tidak menjualkan kepada mereka.
“Pengeluaran kami terhad tetapi terdapat permintaan yang terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat.
Kaedah pemasaran menerusi media sosial turut digunakan Pemilik Pak Ali Lemang Asli, Batriah Najib Hasbi, 41, bagi merancakkan perniagaannya yang nyata terkesan apabila jualan lemangnya tidak sehebat tahun-tahun lalu.
Kata Batriah, dia hanya dapat menjual 500 batang lemang sehari berbanding sebelum ini yang mana dia mampu menjual sehingga 3,000 batang sehari.
“Sekarang memang susah untuk mendapatkan buluh kerana semua pergerakan merentas daerah dan negeri tidak diberikan.
“Alhamdulillah, kami mengambil santan daripada pembekal yang dekat sahaja.
“Bekalan buluh buat sekarang, masih mencukupi tetapi kami tidak tahu bagaimana keadaannya semasa Hari Raya nanti.
“Ini kerana Orang Asli (pembekal buluh) dari Karak, Pahang juga cakap mereka tidak boleh merentas negeri,” katanya.
Kata Batriah, dia akur dengan arahan PKP ini dan terpaksa mengikut peralihan zaman demi kelangsungan perniagaan dan hidup.
Biarpun sudah setahun pengalaman dengan pelaksanaan PKP, namun dilihat peniaga masih bertatih mengadaptasi norma baharu.
Adakah perkara sama ini akan dilalui orang ramai dan peniaga pada tahun hadapan?
Atau sudah ada garis panduan daripada pihak berwajib demi membantu peniaga yang tersepit, ibarat condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan?
#PKP
#lemang
#perintah kawalan pergerakan
#rentas daerah
#Hari Raya Aidilfitri
#SOP
#prosedur operasi standard
#Mohd Arifin Zakaria
#Orang Asli
#buluh
#platform dalam talian