Tinjauan: 72 peratus rakyat Malaysia merancang untuk melancong tahun ini
Bernama
November 2, 2023 07:10 MYT
November 2, 2023 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tinjauan yang dijalankan Europ Assistance (EA) dengan syarikat penyelidikan pasaran, Ipsos menunjukkan 80 peratus responden Malaysia teruja untuk melancong tahun ini dengan lebih 72 peratus daripada mereka merancang untuk berbuat demikian tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif EA Asia Tenggara, Philippe Demangeat dalam kenyataan semalam berkata 69 peratus responden Malaysia merancang untuk melancong ke luar negara pada 2023, manakala 41 peratus berhasrat memilih pasaran ASEAN seperti Singapura, Thailand dan Filipina selepas pandemik.
"Rakyat Malaysia juga merancang untuk membelanjakan purata RM6,500 termasuk semua bagi setiap perjalanan, dengan purata 10 hari tempoh perjalanan. Peruntukan dan tempoh secara perbandingannya lebih rendah berbanding rantau lain, dengan inflasi dan kos sebagai faktor utama," katanya.
Beliau berkata inflasi adalah punca utama yang memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia untuk mengembara manakala COVID-19 menduduki tempat kedua. Bagaimanapun, faktor inflasi turut memberi kesan kepada pilihan perjalanan di negara maju seperti Australia, Kanada, Eropah dan Amerika Syarikat.
Penyelidikan tinjauan kolaboratif itu adalah hasil daripada Barometer Percutian edisi ke-22 EA mengenai pilihan perjalanan merentasi 15 negara termasuk Malaysia.
Tinjauan itu dijalankan dalam kalangan 15,000 individu, dengan 1,000 responden dari setiap negara, termasuk Malaysia, Australia, Poland, Czechoslovakia, Austria, Itali, Jerman, Sweden, Belgium, Perancis, Sepanyol, Portugal, United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA