Tingkatkan penguatkuasaan untuk pastikan semua sektor patuhi SOP - MMA

Bernama
Julai 21, 2020 04:26 MYT
GANABASKARAN: Masih terdapat kes yang aktif dalam negara dan hampir semua orang berisiko dijangkiti jika langkah pencegahan tidak diambil. - Gambar fail
Pihak berkuasa perlu meningkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan mereka bagi memastikan semua sektor di negara ini mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan kerajaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N. Ganabaskaran berkata tanpa pemeriksaan berkala kakitangan penguat kuasa, SOP akan dipandang ringan yang menyaksikan orang ramai akan merasakan keadaan sudah kembali normal.
"MMA ingin mengingatkan masyarakat awam Malaysia bahawa pandemik COVID-19 belum diisytiharkan berakhir. Masih terdapat kes yang aktif dalam negara dan hampir semua orang berisiko dijangkiti jika langkah pencegahan tidak diambil.
"Oleh itu, kita tidak boleh terleka. Ia adalah tanggungjawab bersama. Semua orang mempunyai peranan dalam perjuangan menentang COVID-19. MMA yakin kita akan berjaya jika kita semua memainkan peranan masing-masing," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Dr Ganabaskaran berkata persatuan itu mendapati bahawa tahap pematuhan terhadap SOP telah menurun dengan begitu mendadak sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan timbul kebimbangan apabila jumlah kes baharu COVID-19 meningkat semula kepada dua digit selain kluster baharu dikesan.
"Ekonomi Malaysia masih terjejas selepas tiga bulan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Satu lagi PKP mungkin lebih menjejaskan. Sesetengah perniagaan mungkin tidak akan pulih. Keluarga mungkin tertekan akibat beban kewangan susulan kerugian yang dialami dan ini boleh membawa kepada isu kesihatan.
"Kita tidak boleh melaksanakan satu lagi PKP, oleh itu adalah lebih baik jika kita semua memainkan peranan masing-masing sebagai sebuah negara dan mematuhi sepenuhnya langkah berjaga-jaga yang mudah dalam SOP. Ia adalah untuk kebaikan kita sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #ekonomi #jangkitan #kerajaan #kes aktif #koronavirus #Malaysian Medical Association #MMA #N Ganabaskaran #operasi #pandemik #pematuhan #pemeriksaan #penguatkuasaan #Persatuan Perubatan Malaysia #perubatan #PKP #risiko #SOP
;