Tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, tapi wajib kuasai Bahasa Melayu dengan baik - PM

Astro Awani
November 23, 2023 00:28 MYT
Perdana Menteri menegaskan, penguasaan sekurang-kurangnya dwibahasa adalah penting dan menjadi penekanan dalam kalangan negara-negara maju. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mutu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dipertingkatkan mulai tahun depan.
Namun Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan penguasaan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Beliau memberitahu, penguasaan sekurang-kurangnya dwibahasa adalah penting dan menjadi penekanan dalam kalangan negara-negara maju.
"Apa masalah dalam pendidikan? Mutu pendidikan, sekarang ini kita bicara mutu pendidikan, Bahasa Melayu bahasa utama, mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah-kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris.
"Jadi mulai tahun depan, mutu penguasaan Bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain mempertahankan kedudukan bahasa Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan supaya rakyat tidak mempertikai seolah-olah dengan memberi keutamaan kepada Bahasa Inggeris umpama meninggalkan Bahasa Melayu.
"Saya jelaskan kalau negara ini mahu diangkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, maka Bahasa Malaysia mesti menjadi bahasa ilmu dan utama, dikuasai semua rakyat termasuk (pelajar) sekolah swasta dan antarabangsa.
"Kalau anak itu anak Malaysia maka dia mesti dan wajib menguasai bahasa Malaysia dengan baik.
"Di samping itu semua anak-anak kita terutamanya di sekolah kebangsaan perlu ditekankan penambahan supaya penguasaan Bahasa Inggeris jauh lebih baik dari sekarang," tambahnya.
#Anwar Ibrahim #bahasa Inggeris #Bahasa Melayu #Kementerian Pendidikan
;