Tingkatkan mutu kerja, tiada ruang untuk penjawat awam malas dan cuai - KSN

Bernama
November 24, 2024 20:30 MYT
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 sempena Program Dua Tahun Madani (2TM). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyeru warga perkhidmatan awam supaya meningkatkan mutu kerja, komitmen dan dedikasi selaras pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ringkasan AI
  • Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menyeru penjawat awam meningkatkan mutu kerja dan produktiviti selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
  • Pendekatan "Associated" (keseluruhan negara) dan "Integrated" (keseluruhan kerajaan) diterapkan untuk memperkukuh kerjasama dan penyampaian perkhidmatan awam.
  • Deklarasi Kuala Lumpur menandakan komitmen kuat terhadap reformasi perkhidmatan awam di semua peringkat pentadbiran.

Beliau berkata era baharu perkhidmatan awam ditelusuri dan diperteguh SSPA yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.
Katanya SSPA turut bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
"Dengan sistem gaji progresif di bawah SSPA, produktiviti mesti ditingkatkan. Tiada ruang untuk penjawat awam yang malas, culas dan cuai dan tiada lagi alasan untuk berada di takuk yang lama, tanpa inovasi, perubahan dan pembaharuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di sini hari ini.
Mengimbas kembali tempoh 100 hari pertama sebagai KSN, Shamsul Azri berkata langkah-langkah penting telah dilaksanakan untuk meletakkan asas kukuh dalam reformasi perkhidmatan awam.
"Pendekatan Associated (saling berkaitan) dan Integrated (bersepadu) yang menekankan kerjasama keseluruhan whole-of-government (keseluruhan kerajaan) dan whole-of-nation (keseluruhan negara) telah menyatukan usaha semua pihak, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI. Pendekatan ini telah diterapkan secara berkesan sepanjang konvensyen ini," katanya.
Shamsul Azri berkata pendekatan Associated menekankan penyertaan menyeluruh semua pihak (whole-of-nation) manakala pendekatan Integrated menekankan penyelarasan bersepadu (whole-of-government) antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Gabungan ini memastikan setiap suara didengari dan dijadikan asas untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
"Simbolik kepada pendekatan ini ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang melambangkan komitmen kukuh untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi pentadbiran negeri," katanya.
Shamsul Azri dilantik secara rasmi sebagai KSN pada 12 Ogos lepas menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara wajib.
-- BERNAMA
#KSN #perkhidmatan awam #mutu kerja #SSPA
;