Tingkatkan minat orang muda terhadap STEM - CEO MRANTI
Rahimah Abdullah
Julai 1, 2022 23:01 MYT
Julai 1, 2022 23:01 MYT
KUALA LUMPUR : Malaysia perlu berusaha meningkatkan minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata, tumpuan harus diberikan kepada sudut penciptaan bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang mampu mencipta produk, teknologi dan menjadi sebahagian daripada inovasi.
Dzuleira berkata, perubahan minda adalah cabaran utama dalam usaha pengkomersilan idea dan produk di negara ini.
"Sebab itu kita wujudkan Makerslab atau Makerspace. Makerslab ini adalah area kita memberikan peralatan untuk play around, dan membolehkan penciptaan kreativiti dan generasi muda dalam mencipta produk .
"Jadi, melalui cara ini, kita boleh gunakan untuk membina prototaip. Kita nak melihat teknologi ini dari sudut penyelesaian masalah," katanya semasa menjadi tetamu program Agenda AWANI yang disiarkan pada Jumaat.
Beliau melihat teknologi dan inovasi boleh menjadi satu penyelesaian masalah melanda negara ketika ini termasuk kenaikan harga makanan, sekuriti makanan, penjagaan kesihatan dan buruh.
"Penyelesaian masalah itu datang daripada produk yang boleh dibangunkan. Kita perlu lebih ramai pencipta dan inovator di negara ini. Sebab itu MRANTI diwujudkan bagi menggilap bakat-bakat anak muda tempatan," tambah beliau.
Justeru, MRANTI akan terus bekerjasama dengan ahli akademik bagi membawa keluar Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang telah dan sedang dilakukan universiti tempatan.
"Kita akan memberi laluan pasaran kepada R&D ini yang telah dilakukan di makmal ketika ini dan membawanya masuk ke pasaran.
"Kita akan sambungkan dengan korporat, pasaran sesuai untuk menggunapakai teknologi dan membeli teknologi tersebut," kata beliau.
Dalam pada itu, MRANTI akan mewujudkan 5G Experience Centre melalui kolaborasi pemain industri untuk menguji aplikasi industri dengan 5G.
"Kita juga akan ada kluster tertentu yang akan menggunapakai 5G. Sebagai contoh, kita juga ada Area 57 iaitu lapangan terbang untuk dron.
"Kita ada lima ekar kawasan di TPM , di mana kita akan mewujudkan Centre of Excellent untuk dron. Penggunaan sebegini memerlukan 5G,"ujarnya.