Tingkatkan kualiti keselamatan pekerja dalam industri kelapa sawit
Nickyson Nyambar
Januari 21, 2022 17:03 MYT
Januari 21, 2022 17:03 MYT
KUALA LUMPUR : Keselamatan pekerja industri minyak kelapa sawit perlu diberi keutamaan.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah (DOSH), Zulkifli Yahaya, sektor itu merupakan salah satu sektor yang menyumbang kepada kemalangan di tempat kerja tertinggi di Sabah.
"Industri kelapa sawit adalah salah satu penyumbang terbesar kepada kematian pekerja di tempat kerja di Sabah.
"Jadi amat penting untuk para pekerja mengetahui tanggungjawab mereka dalam memastikan tempat kerja mereka sihat dan selamat," katanya dalam pertemuan bersama syarikat minyak berpengkalan di Lahad Datu, Gamalux Oils Sdn Bhd pada Jumaat.
Ujarnya, para pekerja perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan termasuk memastikan syarikat mengimplementasikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dalam pelan tindakan projek mereka.
Sementara itu, Pengurus Fasiliti Gamalux Oils Sdn Bhd, James Thiruchelvam berkata pihaknya sedang mengemas kini dan mengenal pasti jurang dalam dasar semasa serta memberi fokus secara berterusan untuk mencapai prestasi OSH yang ketara demi pekerja.
"Kami amat serius dan komited untuk memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat buat pekerja-pekerja kami. Sudah menjadi tanggungjawab kami dalam hal ini dan pastinya dapat dilaksanakan dengan bantuan serta kepakaran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah (DOSH)," jelasnya.
Turut hadir dalam pertemuan empat mata itu termasuk Timbalan Pengarah DOSH, Arahman Jamel, Pembantu Pengarah, Elisa Eligius Samuel dan Penolong Pengurus Daud Ahmad.