Tingkatkan keusahawan digital graduan atasi kesan kebolehpasaran pasca COVID-19
Astro Awani
April 15, 2022 11:40 MYT
April 15, 2022 11:40 MYT
LANSKAP graduan mengharungi dunia kerjaya yang telah berubah kerana persaingan semakin sengit dan jumlah pengangguran meningkat kesan pandemik COVID-19, telah menuntut universiti untuk menangani isu ini di peringkat kampus lagi.
Graduan universiti menerima tempias untuk mempersiapkan diri bagi mengadaptasi evolusi pantas kerana perubahan kebolehpasaran graduan mengikut keperluan semasa ekonomi gig dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan teknologi pintar.
Bagi graduan yang belum memperolehi pekerjaan, mereka perlu berusaha untuk mengadaptasi situasi semasa dengan mengenal pasti kemahiran-kemahiran baharu yang diperlukan oleh industri dan keperluan semasa pasaran kerjaya yang selari dengan ekonomi gig dan IR 4.0.
Keusahawanan digital ialah fenomena yang memayungi transformasi perniagaan ekonomi gig yang menjurus kepada teknologi digital IR 4.0 dengan penglibatan luas keluarga Malaysia hasil perubahan amalan keusahawanan secara global.
Keusahawanan digital yang mengandungi elemen kemahiran teknologi maklumat dan portal internet melalui platform media baharu dalam perniagaan alaf baharu memudahkan graduan menguasai aktiviti ekonomi gig tanpa modal besar, tanpa syarikat fizikal, bekerja secara fleksibel dan mencetus pekerjaan lebih luas.
Pengetahuan teknikal dan platform media baharu terkini perlu dikuasai pelajar universiti selari dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 yang berkonsepkan media baharu dan ekonomi digital.
Ekonomi gig adalah gaya sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu mengajikan pekerja sepenuh masa kerana mereka bertindak sebagai 'freelancer'.
Penjualan dan pembelian dalam talian bersesuaian dengan norma baharu fasa endemik dengan membolehkan mereka bekerja dari rumah atau syarikat dalam talian, menggunakan 'influencer popular', menguasai elemen viral atau menguasai pelantar perniagaan digital seperti Shoppe dan Lazada.
Mereka boleh juga menceburkan diri sebagai 'dropship', untuk mempromosi dan akhirnya menjual.
Universiti dan kolej universiti perlu meningkatkan agenda keusahawanan digital melalui latihan kemahiran bagi melahirkan graduan yang memiliki skil tambah nilai berbanding bekalan akademik semata-mata untuk menempuhi cabaran kebolehpasaran.
Selain daripada menilai semula kurikulum dan program akademik masing-masing supaya sukatan keusahawanan digital dipertingkatkan, agenda ini boleh diperkasakan di peringkat ko-kurikulum berkredit atau peringkat kolej kediaman dan persatuan di kampus.
Para graduan perlu menonjolkan keunikan kepakaran mereka dengan keusahawan digital sebagai nilai tambah untuk terpilih semasa temuduga kerja. Peluang memperkayakan pengetahuan melalui program latihan dan sijil-sijil kemahiran dalam talian anjuran pihak dalam dan luar negara amat penting tanpa perlu menunggu latihan pihak atasan.
Elemen-elemen keusahawanan digital ini akan membantu graduan semasa proses temuduga atau semasa belum medapat pekerjaan supaya graduan dapat menjalankan perniagaan ekonomi gig terlebih dahulu.
Pengalaman yang graduan perolehi semasa menguruskan produk ekonomi gig mampu membekalkan mereka dengan kemahiran membina perniagaan yang lebih besar lagi dan menjadi lebih kreatif, berinovasi, menjadi ‘penjana pekerjaan’ dan disayangi syarikat.
Mendedahkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan digital mampu mencetuskan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi graduan dan Keluarga Malaysia.
Sebagai contoh di UPM pada tahun lalu, seramai 14,362 pelajar telah terlibat dalam program pembudayaan keusahawanan semasa pengajian dan semasa program kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara.
Ekosistem keusahawanan pelajar ini diperkukuhkan melalui peruntukan dana keusahawanan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berjumlah RM62,200 melalui empat program, iaitu Latihan Kepimpinan Mahasiswa Nasional, Social Enterprise@Urban Community, Impact Digital Entrepreneurship Apprentice @ KPT dan Structured Entrepreneurial Incubator Program (SEIP) - Inkubator Top Agro UPM – Business Pitching Competition.
Dana keusahawanan KPT ini memberikan impak yang sangat berkesan dalam menggalakkan aktiviti keusahawanan apabila program ‘Structured Entrepreneurial Incubator Program - Top Agro’ telah melahirkan tiga syarikat berasaskan pertanian pelajar.
Pelajar UPM juga berjaya dalam beberapa pertandingan keusahawanan yang dianjurkan oleh pihak KPT, antaranya memenangi tempat kedua dalam National Micro Enterprise Picthing Competition dan tempat ketiga dalam Simulasi Perniagaan Peringkat Kebangsaan 2021.
Pengalaman dan pendedahan pelajar melalui aktiviti bertaraf antarabangsa di universiti juga perlu menekankan kolaborasi keusahawanan antarabangsa antara kedua pihak sebagai agenda penting kerana selama ini aktiviti tersebut berkisar dalam lingkungan aktiviti mobiliti biasa sahaja.
Lawatan pelajar ke peringkat antarabangsa wajar ditambahnilai dengan memorandum persefahaman berkaitan keusahawanan supaya pelajar universiti mendapat pendedahan jaringan perniagaan di luar negara yang akan membantu mereka selepas bergraduasi kelak. Ingatlah, jaringan perniagaan global yang akan membantu pecutan perniagaan anda.
Saya yakin sekiranya pelajar universiti kukuh 'fundamental' keusahawanannya, mereka tidak mempunyai masalah selepas bergraduasi untuk terpilih dalam temuduga atau untuk memulakan perniagaan secara digital.
Peratus kebolehpasaran graduan UPM juga telah meningkat kepada 95.4 peratus pada tahun 2021 berbanding 93.5 peratus tahun 2020 sementara sebanyak 92 syarikat usahawan pelajar berjaya menubuhkan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2021.
Jika dahulu, kebolehpasaran graduan menekankan penguasaan graduan dalam bahasa Inggeris, komunikasi, keyakinan diri dan kemahiran teknologi maklumat, akan tetapi dalam persekitaran ekonomi dunia yang merudum dan keterbatasan peluang pekerjaan, maka skil keusahawanan digital yang holistik muncul sebagai faktor utama menyumbang kepada kebolehpasaran graduan yang kompeten.
* Prof. Dr. Arifin Abdu merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.