Tingkatkan kepimpinan wanita dalam bidang sains kepada 40 peratus - Dr Jemilah

Hasimi Muhamad
Februari 11, 2021 14:46 MYT
Dr Jemilah berkata peluang dan ruang yang secukupnya perlu diberikan kepada wanita untuk menonjolkan diri - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kepimpinan wanita dalam bidang sains perlu dipertingkatkan antara 30 atau 40 peratus bagi memastikan penambahbaikan dalam bidang tersebut.
Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata peluang dan ruang yang secukup perlu diberikan kepada wanita untuk menonjolkan diri.
Ini kerana, kebanyakan penyertaan wanita dalam bidang sains di Malaysia dilihat kurang berada di hadapan.
"Jadi kalau kita boleh tetapkan sasaran untuk penyertaan wanita misalnya mencapai 30 atau 40 peratus peranan kepimpinan dalam bidang sains, maka kita boleh lihat penambahbaikan dalam bidang ini.
"Tetapi kalau kita lihat dari situasi pengajian tinggi, berapa ramai wanita yang mengetuai institusi pengajian tinggi. Jadi, kalau tiada (wanita) dari segi kepimpinan, maka wanita tidak akan kelihatan di dalam bidang ini," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian sempena Hari Antarabangsa Wanita Dalam Sains yang disambut pada 11 Februari.
Mengulas lanjut, Dr Jemilah yang juga Pengasas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) Malaysia berkata, Malaysia mempunyai ramai pakar perubatan sains yang boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat.
Bagaimanapun jelas beliau, terdapat bidang-bidang khusus yang perlu diberi tumpuan bagi menambah saintis termasuk bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta data sains.
"Ini adalah sains yang kita perlukan di masa depan kerana perubahan dari segi bagaimana kita berfungsi, bukan sahaja Sains dan Penyelidikan, tetapi juga ekonomi dan sebagainya.
"Jadi, saya rasa seperti yang saya katakan tadi banyak lagi insentif yang boleh diberikan kepada wanita seperti bidang Sains tetapi saya hendak tekankan bahawa mereka juga harus memegang jawatan (yang memaparkan) sifat kepimpinan," katanya.
Selain itu, Dr Jemilah menambah insentif bagi bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu ditingkatkan dalam kalangan murid-murid perempuan.
Sementara, ibu bapa pula katanya harus memberi ransangan kepada anak-anak mereka untuk mengikuti bidang sains.
Sehubungan itu, beliau bersama Pengerusi Yayasan Aids Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman telah mengerakkan inisiatif 'Sence With Science' sebagai galakan penyertaan pelajar-pelajar perempuan dalam bidang sains.
#Perdana Menteri #AIDS #Institusi Pengajian Tinggi #Sains #Tan Sri Dr Jemilah Mahmood #Sains Untuk Wanita #Hari Antarabangsa Wanita Dalam Sains #mercy malaysia
;