Tingkatkan kawalan sempadan negara, titah Sultan Johor
Bernama
Disember 21, 2021 16:28 MYT
Disember 21, 2021 16:28 MYT
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menegaskan kedaulatan dan keselamatan negara perlu sentiasa diberi keutamaan dengan terus mempertingkatkan kawalan di pintu masuk utama serta sempadan negara.
Baginda yang berkenan menerima menghadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini, menzahirkan perkara itu kepada menteri berkenaan, dalam satu pertemuan yang berlangsung hampir dua jam, di sini.
"Saya membincangkan mengenai Pulau Pisang, Pulau Batu Puteh dan Tompok Utara, di mana kawalan keselamatan khususnya di sempadan negara serta pintu-pintu masuk utama perlu dipertingkatkan," titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda, hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata kawalan sempadan negara sentiasa menjadi teras utama kementeriannya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara sentiasa terpelihara.
"Baginda juga amat menitikberatkan perkara ini dan baginda juga berkenan menyampaikan nasihat untuk memperketatkan kawalan sempadan supaya ia tidak mudah dicerobohi.
"Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor turut menzahirkan rasa sedih dengan tragedi bot karam yang membawa pendatang tanpa izin hingga mengorbankan banyak nyawa berlaku di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, baru-baru ini," kata beliau.
Hamzah berkata Sultan Johor turut berkenan mencadangkan beberapa perkara bagi memperketatkan perundangan negara khususnya berkaitan prosedur kapal-kapal berlabuh di perairan negara.
"Terdapat banyak kapal berlabuh di perairan negara khususnya di kawasan Desaru dan baginda amat menitikberatkan keselamatan nelayan-nelayan tempatan terutama ketika laut bergelora.
"Baginda juga mencadangkan supaya dilengkapi satu struktur keselamatan termasuk sistem radar di perairan negara bagi mengesan kemasukan penceroboh. Kesemua perkara ini akan saya memberi perhatian," kata beliau.
Rabu lepas, sebuah bot yang membawa kira-kira 50 pendatang tanpa izin warga Indonesia, karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi kira-kira 4.30 pagi yang mengorbankan 21 orang dan 13 terselamat, manakala 16 lagi dipercayai hilang.
-- BERNAMA