Tingkat taraf perkhidmatan untuk jadi Hab Kesihatan dan Kesejahteraan - Abang Jo

Azizah Alwi
Disember 4, 2022 07:00 MYT
Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena ulang tahun ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia di Hotel Imperial pada Ahad malam. - Astro AWANI
KUCHING: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Sarawak disarankan untuk mempertingkatkan taraf perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi memanfaatkan potensi sebagai hab kesihatan dan kesejahteraan masa depan di rantau inim penambahbaikan taraf perkhidmatan berkualiti itu perlu bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Ujar beliau, Sarawak memerlukan peruntukan tambahan perbelanjaan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan kebolehcapaian penjagaan kesihatan berkualiti terutamanya di kawasan luar bandar.
“Jumlah perbelanjaan KDNK untuk penjagaan kesihatan awam Malaysia berada pada 2.58 peratus buat masa kini.
Manakala,dalam cadangan Kertas Putih Kesihatan baru-baru ini, kita menganggarkan peningkatan sebanyak 5 peratus daripada jumlah KDNK untuk perbelanjaan tersebut dalam masa terdekat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena ulang tahun ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia di Hotel Imperial pada Ahad malam.
Ujar Abang Jo, bagi mendapatkan akses kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan, Sarawak perlu mengutamakan pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar.
“Kita memerlukan lebih ramai doktor terlatih dan kakitangan perubatan dalam memberikan perkhidmatan perubatan yang berkualiti di kawasan luar bandar,” katanya.
Selain itu, Sarawak harus mencapai beberapa tahap autonomi kesihatan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia adalah langkah penting untuk membangunkan penjagaan kesihatan di Sarawak berdasarkan keperluan rakyat.
“Sarawak mempunyai kakitangan profesional penjagaan kesihatan yang mencukupi untuk menguruskan sistem penjagaan kesihatan kita sendiri.
“Dengan adanya autonomi kesihatan, kita boleh melonjakkan kualiti penjagaan kesihatan di Sarawak melebihi penjagaan standard menjelang 2030,” ujarnya.
#MMA #perkhidmatan penjagaan kesihatan #Abang Johari Tun Openg #hab kesihatan
;