Tingkat tahap pendidikan, kemahiran akan pacu produktiviti dan pertumbuhan - Najib

Bernama
Mei 18, 2016 08:08 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sesuatu semasa berucap pada siri ceramah Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC)-Khazanah, di London, Selasa. - FotoBERNAMA
Malaysia perlu lebih serius dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran dalam negara supaya pertumbuhan dan gaji yang lebih tinggi akan terhasil daripada peningkatan produktiviti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia juga, kata beliau, perlu memberi tumpuan untuk berada di barisan hadapan dalam menggunakan dan mencipta teknologi baru, bagi mendapat dan mengekalkan kelebihan daya saing dalam jangka panjang.
"Kita perlu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan serta proses yang lebih baik dalam industri. Kita perlu fokus bukan sahaja pada inovasi, tetapi terhadap mengkomersialkan inovasi," kata beliau dalam ucapan mengenai Daya Saing Global: Aspirasi Malaysia pada Siri Syarahan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC)-Khazanah di sini pada Selasa.
Beliau berkata ini adalah tugas besar yang tidak boleh hanya menjadi satu perkara yang melibatkan kerajaan dan menyeru sektor swasta untuk turut memainkan peranan penting, termasuk dalam latihan di semua peringkat kehidupan.
"Kita perlu membentuk perkongsian baru supaya semua peserta penting dalam ekonomi kita bersatu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
"Ini bermakna rakyat kita diperkasa dengan kemahiran dan kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan dunia di mana tanpa usaha bukan satu pilihan," kata beliau.
Beliau berkata Malaysia mempunyai pelan ekonomi yang telah menunjukkan hasil dan akan terus berbuat demikian untuk faedah rakyat Malaysia bukan sahaja hari ini, tetapi tahun-tahun dan dekad akan datang.
Cabaran pertumbuhan dan pembangunan ekonomi mampan dalam ekonomi global yang lebih kompetitif akan menguji Malaysia, dan tidak boleh dicapai tanpa keazaman politik dan komitmen untuk melabur masa dan sumber, kata Najib.
"Tetapi saya percaya kita akan melakukannya. Saya percaya potensi dan kemampuan Malaysia untuk mencari model pertumbuhan yang seimbang dan mampan dan mewujudkan peluang untuk semua," kata beliau.
Sementara itu, siri syarahan itu dihadiri antara lain oleh Profesor Alice Gast iaitu Presiden Imperial College London, Profesor Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd serta Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).
Siri Syarahan berkenaan mendahului mesyuarat tahunan keenam GSIAC yang dipengerusikan oleh Najib kemudiannya.
#GSIAC #kemahiran #Najib Razak #pendidikan #Perdana Menteri #teknologi
;