Kerajaan akan memastikan persepsi dan kebolehkepercayaan rakyat dalam usaha membanteras rasuah diperkasakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia dilakukan melalui beberapa tindakan selain usaha komited Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan langkah itu menjadi realiti, katanya.

Jelas beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, penentuan indeks rasuah tidak seharusnya bersandarkan sepenuhnya kepada agensi penarafan peringkat antarabangsa.

"Kaedah ini, dan tindakan dilakukan, memberikan kebolehpercayaan tinggi rakyat kepada kerajaan melalui tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini sekali gus menghapuskan persepsi negatif, terutamanya mereka yang melihat apa sahaja yang dilakukan oleh kerajan adalah salah, dan mereka mencari aspek negatif untuk menghakis kebolehpercayaan rakyat kepada kerajaan," katanya semasa berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Malaysia di sini hari ini.

BACA: Semua agensi KDN harus tandatangan ikrar bebas rasuah - TPM Zahid



Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan mahu semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya menandatangani IBR bagi menghindari diri daripada rasuah dan salah guna kuasa ketika melaksanakan tugas.

Menurutnya, pelaksanaan ikrar oleh SPRM itu memperlihatkan komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab serta amanah kepada rakyat.

Dalam pada itu, katanya, peningkatan tangkapan oleh SPRM membuktikan agensi itu telus dalam mencari pelaku jenayah rasuah.

"Kita lihat setiap hari ada sahaja tangkapan dilakukan SPRM dan ada sahaja tuduhan dan pengheretan mereka ke mahkamah.

"Tetapi dengan tindakan dilakukan SPRM, persepsi ini diharap telah berubah," kata Ahmad Zahid.

Namun begitu, tambahnya, bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), persepsi negatif itu tidak berubah.

"Biarpun indeks kesalahan jenayah turun 47%, persepsi positif PDRM tidak meningkat. Saya harap ia tidak berlaku kepada SPRM.

"Indeks rasuah turun, persepsi seharusnya dipertingkatkan. Ini agak sukar, tetapi tidak mustahil dapat dilakukan," ujarnya.

IBR merupakan inisiatif yang diperkenalkan SPRM hasil cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Ia memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela untuk menangani isu rasuah.