Tingkat pemeriksaan tapak bina: 781 projek tidak patuh SOP - CIDB

Harits Asyraf Hasnan
November 24, 2020 17:02 MYT
Pemeriksaan dilakukan pihaknya itu turut melibatkan 8,000 projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sejumlah 781 projek pembinaan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata ia hasil pemeriksaan meliputi lebih 13,600 tapak binaan yang dilaksanakan sejak 20 April lalu.
Ujarnya, pemeriksaan dilakukan pihaknya itu turut melibatkan 8,000 projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.
"Secara purata, sebulan kita melaksanakan 2,000 pemeriksaan tapak. Kita sekarang ini bercadang meningkatkan lagi pemeriksaan tapak, menumpukan penguatkuasaan untuk meningkatkan pematuhan SOP.
"Setakat pemeriksaan kita sehingga kini, kita dapati terdapat 781 projek yang tidak memenuhi SOP yang mana kita keluarkan surat amaran serta arahan tutup tapak.
"Kini, semua projek tersebut telahpun mematuhi SOP dan kita benarkan semula projek itu untuk dilaksanakan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas peningkatan kes COVID-19 terutamanya melibatkan kluster di tempat kerja dan tapak pembinaan.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan termasuk Labuan, dan Sabah, diwajibkan menjalani ujian calitan COVID-19.
Ujarnya, kos ujian itu bagi pekerja yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan ditanggung agensi berkenaan bersama majikan.
Subsidi bagi ujian saringan Kit Ujian Pantas (RTK)-Antigen sebanyak RM60 boleh dituntut kepada PERKESO dan kos selebihnya dibayar oleh pihak majikan.
Bagi pekerja asing bukan pencarum PERKESO pula, kos ujian saringan COVID-19 ditanggung sepenuhnya oleh majikan.
#COVID-19 #cidb #Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan #Ahmad 'Asri Abdul Hamid #tapak pembinaan #kluster tapak bina
;