Tinggalkan motosikal, terjun dari jambatan: Lelaki dikhuatiri lemas

Vivi Sumanti
Oktober 28, 2019 18:02 MYT
Keadaan arus sungai yang deras serta keadaan air yang berkelodak turut menjadi kekangan dalam operasi pencarian.
Seorang lelaki berusia 42 tahun dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra di sini sekitar jam 10 pagi Isnin.
Mangsa yang dikenali sebagai Bisrafel Bijuri, dikatakan menunggang motosikal berseorangan dan meninggalkan motosikal yang dinaikinya di atas jambatan sebelum terjun ke dalam sungai.
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Kelantan, Mohd Farid Ismail, gerakan mencari mangsa dilakukan selepas menerima maklumat dari orang awam sekitar jam 10.30 pagi tadi.
“Seramai 22 anggota Bomba termasuk Pasukan Penyelamatan di air, PPDA terlibat dalam operasi pencarian yang dilakukan di sekitar kawasan mangsa jatuh” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
“Keadaan arus sungai yang deras serta keadaan air yang berkelodak turut menjadi kekangan dalam operasi pencarian yang dimulai sekitar jam 11 pagi tadi,” katanya.
Mangsa yang dikatakan mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai jurujual kereta dipercayai mengalami kemurungan.
#Jambatan Sultan Yahya Petra #Kemurungan #lelaki dikhuatiri lemas #PDRM #polis #terjun jambatan
;