PETALING JAYA: Zain Sulaiman, abang kepada penyanyi popular, Muhammad Yasin Sulaiman tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi keadaan adiknya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pada Khamis.

Mengakui sedih dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menolak representasi dikemukakan Yasin, Zain berkata, walau apa keputusannya, mereka akan terus berada bersama penyanyi dan komposer itu.

Namun, tegas Zain, apa yang membimbangkannya ialah keadaan kesihatan adiknya sehinggakan berat badannya semakin menyusut.


BACA: AGC tolak representasi Muhammad Yasin

“Rasa sedih itu memang ada tapi itu lumrah hidup. Kita akan terus berada bersama Yasin, terus berdoa. Insya-Allah.

“Cuma saya amat risau dengan kesihatan dia. Saya peluk dia pagi tadi, tinggal tulang…” katanya menerusi video dimuat naik Sumber TV pada Khamis.

Beliau yang kelihatan sebak tidak dapat meneruskan kata-katanya dan kemudian meminta peguam Ariff Azami Hussein menyambungnya.

“Lawatan terakhir kami di penjara, Yasin memang seperti biasa, bersemangat, reda dengan ujian.

“Tapi kekhuatiran kita, keadaan kesihatan beliau yang nampak sedikit merunsingkan terutamanya susut berat badan yang agak ketara.

“Contoh bila kita peluk dia, salam dia, kita boleh terasa tulang,” kata Ariff Azami.

BACA: Keluarga Yasin pilu, reda tidak sambut Aidiladha bersama

Astro AWANI pada Rabu melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan Yasin untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Rabu.

Semasa prosiding, Mohd Asnawi memaklumkan berkata, surat rasmi berhubung perkara itu belum sempat dikeluarkan dan tarikh perbicaraan diteruskan seperti ditetapkan.

Sementara itu, Ariff Azami berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu lagi.