Tinggal sehelai sepinggang, rumah hangus ketika tarawih
Sinar Harian
Mac 28, 2024 13:34 MYT
Mac 28, 2024 13:34 MYT
JENGKA: "Ingatkan rumah orang lain yang terbakar rupanya rumah sendiri," kata Mohd Isa Md Noor, 61, selepas tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah akibat kebakaran di Felda Jengka 14 di sini pada Selasa.
Dalam kejadian pada jam 10.20 malam itu, Mohd Isa berada di masjid menunaikan solat tarawih manakala isterinya, Nor Asmah Bohari, 58, dan dua anak tiada di rumah kerana membantu saudara menyiapkan tempahan kerepek bawang.
Menurutnya, sebelum pulang ke rumah dia sempat singgah dan minum di sebuah kedai.
"Ketika pulang ke rumah, ada terdengar siren bomba ingatkan rumah orang lain terbakar tetapi rupanya sampai di rumah, api sedang marak.
"Terkedu dibuatnya tapi syukur kerana kesemua ahli keluarga selamat dan tidak melibatkan sebarang nyawa," katanya.
Dalam kejadian tersebut, kesemua barangan dalam rumah termasuk dua buah motosikal hangus.
Ujarnya, walaupun ditimpa ujian pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri, warga emas itu menganggap ia satu dugaan buat mereka sekeluarga.
"Buat masa ini saya dan keluarga menumpang sementara waktu di rumah adik di sekitar kawasan sini," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, tabung bantuan akan dilancarkan di kesemua 35 masjid di wilayah tersebut bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Jelas beliau, sumbangan awal telah diserahkan kepada Mohd Isa pada Selasa.
"Kita bersimpati dengan nasib keluarga ini yang ditimpa ujian menjelang Syawal," tambahnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian