Tinggal di rumah buluh kerana kemiskinan
Muhafandi Muhamad
Julai 4, 2021 11:57 MYT
Julai 4, 2021 11:57 MYT
BACHOK: Pernah dua kali memohon untuk dapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan rumah dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), namun sehingga kini tiada jawapan.
Kesudahannya bagi keluarga Siti Aminah Mamat, hanya sebuah rumah buluh yang didirikan dengan asas sisa kayu, buluh dan guni menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh.
Rumah daif itulah dihuninya dan suami, empat lagi anaknya berusia 13 hingga 20 tahun serta seorang cucu.
Bukan tidak mahu hidup dalam keadaan yang lebih selesa, namun mereka sekeluarga tidak mampu menyewa rumah kerana kesempitan kewangan.
"Orang bagi kayu sikit saya buat rumah, bekalan elektrik dan air saya sambung dari rumah mak.
"Saya tidak mampu, saya pernah membuat permohonan sebanyak dua kali tetapi tiada jawapan," katanya.
Apa yang lebih menyedihkan, teratak buluh dengan tiada bilik dan tandas yang daif itu jadi tempat berlindung daripada hujan dan panas selama lebih 3 tahun.
Mereka pernah memohon rumah PPRT dan bantuan rumah daripada MAIK tetapi tiada jawapan balas sehingga kini.
Penghulu Mukim Libuk Temusu, Mohd Sabri Mat Nawi pula berkata, dua kali permohonan Siti Aminah ini dibawa ke pihak berkenaan, namun tidak diluluskan.
"Saya sebagai penghulu telah memohon ke KPKT bagi mendapatkan rumah PPRT tetapi diberitahu kuota telah habis," jelasnya.
Suami Siti Aminah bekerja kampung manakala dua anaknya masih bersekolah.
Walaupun reda dengan kehidupan yang daif, mereka tetap bersyukur dengan bekalan makanan yang dihulurkan sama ada daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau melalui Mohd Sabri.
Astro AWANI sedang mendapat maklum balas daripada pihak MAIK.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut beliau, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 billion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.