'Tindakan tidak Islamik Pas akan musnahkan kredibilitinya'
Bernama
November 19, 2012 08:26 MYT
November 19, 2012 08:26 MYT
Tindakan Pas mengadakan solat hajat dan mendoakan kejatuhan Barisan Nasional dan Umno pada pilihan raya umum akan datang akan memusnahkan kredibilitinya sebagai parti Islam, kata Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak.
Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno itu berkata tindakan seumpama itu amat tidak Islamik dan bertentangan dengan prinsip Islam.
"Doa biasanya untuk kebaikan, mohon orang dipanjangkan umur, negara selamat dan negara sejahtera.
"Tak pernah doa dibuat untuk membinasakan parti. Ia bertentangan dengan prinsip Islam. Umno tak pernah pun berdoa untuk PAS dibinasakan," katanya kepada media Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menggulas laporan akhbar mengenai tindakan parti pembangkang itu mengadakan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu semalam serta berdoa agar BN dan Umno dihancurkan untuk memudahkan laluan PAS ke Putrajaya.
Najib berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari bermula semalam.