Tindakan telah diambil terhadap persatuan kibar Jalur Gemilang terbalik - Fahmi

Bernama
Ogos 13, 2024 14:35 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan telah diambil terhadap Persatuan Kwong Sai Kuala Kangsar, Perak kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan telah diambil terhadap Persatuan Kwong Sai Kuala Kangsar, Perak kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini.
Beliau berkata memasang Jalur Gemilang secara terbalik menyalahi undang-undang dan tindakan penguatkuasaan itu adalah peringatan agar insiden serupa tidak berulang.
"Saya difahamkan dalam kes tersebut, pihak berkuasa telah mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jejak Panda oleh foodpanda Malaysia di Pantai Dalam dekat sini hari ini.
Terdahulu, presiden persatuan itu telah memohon maaf atas kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik selain mengakui insiden tersebut berlaku kerana kelalaian dan memberi jaminan ia tidak akan berulang.
Difahamkan seorang warga emas yang juga pekerja di bangunan itu telah dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berhubung insiden tersebut.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang yang cukup sifatnya iaitu tidak lusuh, koyak atau rosak dan memastikan bendera Malaysia itu dikibarkan dengan cara yang betul.
"Pada pelancaran Bulan Kebangsaan, saya telah memberikan peringatan iaitu kena pastikan Jalur Gemilang (dikibar) dengan betul kerana ia merupakan simbol kemegahan dan kedaulatan negara.
"Maklumat terperinci cara-cara pemasangan bendera dan apa yang boleh serta tidak boleh dilakukan boleh diperoleh daripada Jabatan Penerangan," katanya.
Beliau juga berkata sejumlah 7,100 penghantar foodpanda di seluruh negara telah mendaftar untuk menikmati kemudahan pakej khas telekomunikasi p-hailing serendah RM33 sebulan bagi data minimum 40GB.
Fahmi berkata beliau akan mendapatkan maklumat daripada syarikat lain dalam usaha memastikan setiap penghantar tidak ketinggalan menikmati kemudahan Pakej P-Hailing RAHMAH yang dilancarkan pada Januari lepas.
-- BERNAMA
#tindakan #Persatuan Kwong Sai Kuala Kangsar #bendera terbalik #Jalur Gemilang