Tindakan tegas terhadap samseng ugut penguat kuasa - Abdul Hamid Bador

Bernama
Mei 21, 2019 09:09 MYT
Abdul Hamid memberi jaminan perlindungan keselamatan kepada penguat kuasa yang menjadi mangsa. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap samseng yang cuba mengugut pegawai dan anggota penguat kuasa sebagai amaran bagi menghentikan tindakan penguatkuasaan atau pendakwaan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata beliau memandang berat kes-kes ugutan sedemikian sejak kebelakangan ini.
Beliau telah mengarahkan pegawai dan anggota polis untuk segera menyiasat dengan menangkap penjenayah ini untuk diadili dengan memberi jaminan perlindungan keselamatan kepada penguat kuasa yang menjadi mangsa.
Pada 28 April lepas, rumah dan kereta Pengarah Penguatkuasa Majis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Muhibbah, Rawang diserang oleh beberapa lelaki.
Dua kenderaan milik mangsa turut disimbah cat berwarna merah selain tong cat berisi paku, besi dan kertas telah dibakar dengan mercun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
Pada Isnin, sebuah kereta milik timbalan pendakwa raya Mahkamah Majistret Baling disimbah cat kapur di pekarangan rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob di Kulim, Kedah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Pada Ahad lepas Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong ditahan polis bagi membantu siasatan kerana mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut.
-- BERNAMA
#Abdul Hamid Bador #amaran #anggota penguat kuasa #DAP #jaminan perlindungan #kes ugutan #keselamatan #Ketua Polis Negara #khianat #Majis Perbandaran Selayang #mangsa #pegawai penguat kuasa #polis #samseng #siasatan #tindakan pendakwaan #tindakan penguatkuasaan #ugut