Tindakan tegas terhadap peniaga gagal patuh SHMMP Deepavali 2023

Bernama
November 10, 2023 22:18 MYT
Fuziah berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan, bagi memastikan lapan jenis barangan yang diputuskan kerajaan sebagai barangan kawalan sempena perayaan Deepavali, dipatuhi peniaga. - Gambar fail
KUANTAN: Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhiperaturan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh.
Beliau berkata SHMMP Deepavali 2023 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, dan peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut akta tersebut.
"Pemantauan berterusan akan dilakukan, bagi memastikan lapan jenis barangan yang diputuskan kerajaan sebagai barangan kawalan sempena perayaan Deepavali, dipatuhi peniaga.
"Pendekatan ini diambil atas keprihatinan kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan rakyat, khususnya bagi mereka yang meraikan Deepavali tidak terjejas dan mampu membeli dengan harga yang berpatutan dan dalam masa sama, memastikan bekalan sentiasa mencukupi," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Fuziah berkata tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 yang bermula tiga hari sebelum perayaan, sehari semasa dan tiga hari selepas perayaan, bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga di peringkat pengguna dan peniaga.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan lapan jenis barangan yang dikawal di bawah skim itu antaranya bawang merah besar import, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia) dan tomato.
Bagi tujuan itu, seramai 2,200 orang anggota penguatkuasa KPDN bersama 900 pegawai pemantau harga di seluruh negara, ditugaskan di lokasi strategik seperti di pusat beli-belah barangan keperluan perayaan, supaya tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna, selain penguatkuasaan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan.
Orang ramai juga boleh mengemukakan aduan menerusi WhatsApp di 019-2794317 atau 019-848 8000 atau e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my, bilik gerakan penguatkuasaan 03-8882 6088/6245, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN atau di portal aduan http://eaduan.kpdn.gov.my.
-- BERNAMA
#Deepavali #Fuziah Salleh #Antipencatutan #skim harga maksimum #perayaan
;