Tindakan tegas terhadap hotel, rumah tumpangan tidak berlesen
Firdaus Azil
Januari 6, 2019 20:05 MYT
Januari 6, 2019 20:05 MYT
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha hotel dan rumah tumpangan yang tidak berlesen dan berdaftar dengan kementerian.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata jika benar wujud premis-premis haram terbabit, pihak berkaitan perlu menyenaraikan nama dan bilangan premis untuk diambil tindakan tegas.
"Jika benar mereka ini melakukan perkara ini dan benar lambakan premis haram itu wujud, maka pihak berkaitan perlu menyerahkan senarai itu kepada kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diambil tindakan.
"Jika wujud maka saya akan menggerakkan agensi sedia ada untuk berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya," kata Ahli Parlimen Silam itu.
Menurut Mohamaddin, seandainya perkara itu masih wujud dan sukar dikekang, maka mekanisme baharu akan dibuat.
"Kita akan melaksanakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengesan kewujudan premis-premis haram ini secara lebih kerap.
"Jika boleh kita mahu ia dilakukan sebulan sekali agar usaha penipuan ini dapat dipatahkan secara tuntas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, perbincangan akan turut diadakan bagi membincangkan tindakan tegas bagaimana yang boleh diambil selain tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, Akta 482.
"Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenalpasti tindakan wajar yang bakal dikenakan ke atas pengusaha haram ini kerana PBT ada lebih kuasa untuk tindakan undang-undang diambil.
"Apabila kita dapat sahaja senarai itu kita akan laksanakan segera kerana ia melibatkan soal keselamatan orang awam yang mendiami premis terbabit," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata orang ramai juga mudah tertipu jika promosi premis-premis terbabit sama dengan promosi premis berdaftar dan berlesesn.
"Jika modus operandi mereka ini benar wujud maka mereka juga boleh menipu pelanggan mereka di atas talian. Dengan harga murah dan rekabentuk menarik, sudah pasti ramai yang akan datang,
"Tetapi kita mahu semua orang selepas ini peka dengan situasi terbaharu ini dan melihat ke papan lesen yang dipampang di setiap premis yang dikunjungi sebelum menginap. Saya juga menyarankan agar orang ramai dapat melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya wujud premis haram terbabit di kawasan mereka," katanya.
Jelas Mohamaddin lagi apabila telah terbukti wujudnya premis haram ini maka perbincangan akan turut diadakan bersama kementerian berkaitan bagi menyaring dan menyekat laman-laman web yang dibangunkan pengusaha haram terbabit.
#hotel
#Hotel haram
#keselamatan
#Menteri Pelancongan
#Mohamaddin Ketapi
#pelancong
#pihak berkuasa tempatan
#Rumah Tumpangan haram
#undang-undang