JOHOR BAHRU:Polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana anggotanya jika terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah termasuk menyeludupnya untuk tahanan di dalam lokap.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata polis tidak mengamalkan 'pilih kasih' dalam usaha memerangi kegiatan dadah secara habis-habisan.

"Tindakan akan diambil, tiada pilih kasih...sama sahaja. Bagi tahanan melebihi seminggu, pihak JSJN akan membuat ujian saringan air kencing terhadap tahanan untuk melihat sama ada terdapat kesan pengambilan dadah atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, oleh Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata pihaknya dalam masa sama juga akan mencari punca bagaimana dadah boleh 'menembusi' ke dalam lokap.

Ketika ditanya berhubung dakwaan berlaku kes penyeludupan dadah di sebuah lokap di Kota Tinggi, baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan berkaitan kes berkenaan dan akan melakukan siasatan.

Beliau berkata kes sedemikian pernah berlaku di Pulau Pinang melibatkan seorang anggota membawa masuk dadah ke dalam lokap dan sudah pun diambil tindakan.

"Ada beberapa kes seumpama ini dan saya tidak dapat berikan jumlah yang tepat. Ada antaranya yang terlibat adalah anggota, ada juga yang dari sindiket orang yang ditahan.

Antara faktornya (berlaku kes penyeludupan dadah) ialah mengambil kesempatan terhadap penagih dadah yang ditahan, menggunakan ruang atau keuntungan terutamanya apabila mereka ini dibawa ke mahkamah," katanya.

-- BERNAMA