Tindakan tegas pemaju yang berpakat naikkan harga rumah - Hasan Malek

Haider Yutim
Oktober 22, 2013 14:30 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang membuat sebarang pakatan sulit untuk menaikkan harga rumah.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berikutan terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa ada cubaan antara pemaju yang mengambil kesempatan berpakat menaikkan harga rumah berikutan langkah kerajaan merasionalisasikan subsidi minyak.
Hasan juga berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) untuk mengenal pasti sama terdapat elemen anti persaingan dalam industri mengenai dakwaan pemaju perumahan yang menaikkan harga rumah sehingga 10%,
"Amaran jika ada pakatan sulit antara pemaju yang naikkan harga rumah akan diambil tindakan tegas kerana ia akan melibatkan kepentingan rakyat," tegasnya di Parlimen pada Selasa.
Hasan menjawab soalan daripada Ahli Parlimen BN-Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mengenai langkah yang diambil bagi membendung tindakan sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang ekoran penyelarasan harga subsidi minyak serta kenyataan pemaju perumahan yang berhasrat menaikkan harga erumah sehingga 10% atas alasan yang sama.
Selain itu beliau juga meminta orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya melaporkan kepada pihak kementerian jika mendapati ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati.
Katanya lagi, pemeriksaan berkala termasuk Operasi Harga 2013 menjelang perayaan Deepavali dan Krismas akan diteruskan.
#harga rumah #Hasan Malek #KPDNKK #minyak #rasionalisasi
;